suria

Kumpulan Baju Merah Beri Kerajaan Thailand Tempoh 24 Jam

BANGKOK: Penunjuk perasaan berbaju merah anti-kerajaan memberi tempoh 24 jam sebagai amaran terakhir supaya kerajaan sekarang berundur atau membubarkan Parlimen di sebalik kegagalan mereka menghimpunkan satu juta orang untuk menyertai perhimpunan besar-besaran di sini hari ini.

Pemimpin Barisan Bersatu untuk Demokrasi menentang Diktator (UDD) Veera Musikapong mengumumkan permintaan itu secara rasmi di pentas utama perhimpunan terletak di jambatan Phan Fa, di Ratchadamneon Avenue di sini.

"Kami mahu kerajaan kembalikan kuasa kepada rakyat Thai," katanya sambil menambah kerajaan akan berdepan dengan penunjuk perasaan di seluruh ibu kota jika permintaan itu tidak dipenuhi menjelang esok.

Pemimpin UDD dijangka mengumumkan tindakan mereka seterusnya lewat hari ini, dan sebelum tunjuk perasaan besar-besaran itu berlangsung hari ini, terdapat laporan ancaman untuk 'melumpuhkan' bandar raya itu sekiranya permintaan tersebut tidak ditunaikan.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva telah banyak kali menegaskan pentadbirannya tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dan ancaman supaya meletak jawatan.

Veera mendakwa kerajaan sekarang adalah kerajaan bersifat diktator yang diatur oleh kumpulan elitis dalam negara itu.

Pemimpin UDD telah berikrar untuk menghimpunkan sejuta penunjuk perasaan dari seluruh negara dalam perhimpunan besar-besaran pada tengah hari ini tetapi pemangku jurucakap kerajaan Dr Panitan Wattanayagorn menganggarkan sekitar 40,000 hingga 50,000 penunjuk perasaan hadir setakat 2 petang ini.

Bagaimanapun, Dr Panitan berkata angka itu boleh berubah dari semasa ke semasa.

Keseluruhannya keadaan keselamatan di seluruh Bangkok masih terkawal di mana tiada laporan berhubung insiden yang tidak diingini, katanya.

Pusat lokasi demonstrasi itu umpama lautan merah apabila penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur memakai baju merah, pelilit kepala merah dan topi merah melaungkan slogan anti-kerajaan.

Kira-kira 50,000 askar dan polis digembleng bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan selepas kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dari 11 Mac hingga 23 Mac di tujuh wilayah termasuk Bangkok.

Kajian rambang di beberapa pusat membeli-belah di ibu kota itu menunjukkan tidak ramai yang berada di luar rumah, seperti kebiasaan pada hari Ahad dan kenderaan juga kurang di jalan raya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain