suria

Selera Makanan Minang Rais Tarik Perhatian Rakan Sejawatan Dari Indonesia

JAKARTA: Hubungan Malaysia-Indonesia merupakan hubungan sejarah bangsa serumpun yang sudah lama yang tidak seharusnya terputus semata-mata kerana diganggu isu kecil, kata Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring.

"Contohnya Datuk Rais (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim)...seleranya tak berbeza dengan kita, bila kita hidangkan masakan minang, ia sesuai dengan seleranya.

"Ini menunjukkan bahawa akar budaya kita, akar rasa kita sama. Kesamaan ini tentu akan dimanfaatkan dengan program saling kunjung mengunjung, lawat melawat antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas Rais mengunjungi beliau di pejabatnya di sini pada Khamis.

Tifatul turut mencadangkan supaya usaha merapatkan hubungan itu diperluaskan melalui bidang sastera seperti pertandingan berbalas pantun.

"Jika Indonesia dan Malaysia jarang atau tidak pernah berkomunikasi, salah faham mungkin akan timbul di mana hal-hal kecil seolah-olah menjadi besar," katanya.

Ditanya sama ada isu-isu kecil antara Indonesia dan Malaysia yang berlaku selama ini boleh dianggap selesai, beliau berkata ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan menjadi lebih mudah dengan adanya banyak program kunjung mengunjung oleh kedua-dua pihak.

Tifatul juga berpendapat pertukaran maklumat melalui siaran berita seperti Warta Serumpun, yang dilaksanakan sebelum ini, wajar diteruskan bagi membolehkan rakyat kedua-dua negara mendapat gambaran sebenar.

Malam tadi, Rais menyaksikan persembahan oleh artis-artis kesenian Malaysia pada acara dinamakan "1Malaysia: Harmony in Cultural Diversity" di Dewan Usmar Ismail di sini. - BERNAMA

Artikel Lain