suria

Malaysia Terpilih Destinasi Pelancongan Kedua Terbaik Di Asia

BERLIN: Malaysia diumum sebagai destinasi pelancongan kedua terbaik di Asia oleh 'Go Asia', sebuah rangkaian pemasaran pelancongan yang khusus kepada rantau Asia, dan segala kemudahan pelancongan yang disediakan negara secara keseluruhannya turut mendapat pujian badan itu.

Di samping itu Pejabat Tourism Malaysia di Frankfurt pula terpilih sebagai pejabat promosi pelancongan asing ketiga terbaik di Frankfurt, dengan diperakui antara kelebihannya termasuk memiliki petugas yang cekap dalam memberikan respons terhadap sebarang pertanyaan dan cukup profesional.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Azizan Noordin yang mengetuai kontinjen Malaysia di sini, yang anggotanya termasuk pengusaha pelancongan dan pengusaha hotel, memberitahu Bernama beliau amat gembira dengan pengiktirafan itu.

Inisiatif 'Go Asia' dibangunkan pada 2003 dalam usaha meningkatkan pemasaran pelancongan di sekitar wilayah-wilayah di sini, dan ketika ini ia mempunyai 28 anggota yang antaranya terdiri daripada para pengusaha pelancongan, syarikat penerbangan dan lembaga pelancongan.

Malaysia turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 destinasi terbaik dunia oleh Lonely Planet.

Dengan ekonomi dunia yang semakin pulih, Tourism Malaysia turut meningkatkan jangkaan ketibaan pelancongan secara keseluruhan dari 23.6 juta pelancong kepada 24 juta dalam tahun 2010 dengan ramai pakar di negara-negara di sini berkata angka itu mudah dicapai.

Kadar ketibaan pelancong dari Jerman menampilkan pertumbuhan 15 peratus tahun lepas dengan ketibaan 128,288 pelancong.

Azizan berkata program homestay Malaysia cukup popular dengan pelancong dari Korea dan Jepun, yang biasanya akan tinggal selama dua atau tiga hari dengan keluarga di Malaysia untuk mendapatkan pengalaman menarik, dan menurutnya program sebegini akan turut dipasarkan di Jerman dan negara-negara Eropah yang lain.

Beliau berkata pelancong Jerman kebanyakannya tinggal di Malaysia pada kadar purata 10.3 malam dalam setiap kunjungan, yang merupakan kadar yang cukup tinggi berbanding lain-lain negara.

"Kami akan promosi pakej terbaik dalam pasaran Jerman tahun ini. Kami sudah menganjurkan beberapa acara istimewa bagi segmen ini. Projek Grand Prix Petronas kini dianjurkan dengan kerjasama Mercedes Benz," katanya.

"Satu lagi acara menarik adalah Festival Kasut Antarabangsa di Malaysia. Jimmy Choo, ikon pereka kasut dari Malaysian akan menganjurkan acara ini. Ia akan disusuli dengan Festival Pelancongan Seni Kontemporari Malaysia," kata Azizan.

Datuk Bandar Berlin Klaus Wowereit, dengan diiringi Menteri Ekonomi dan Teknologi Jerman Rainer Bruederle, melawat astaka Malaysia di sini, Rabu, yang menampilkan reka bentuk rumah kampung tradisional Melaka. - BERNAMA

Artikel Lain