suria

Polis Indonesia Tembak Mati Seorang Suspek Pengganas, Empat Ditahan

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini menembak mati seorang lelaki yang disyaki dari sebuah kumpulan pengganas dan menangkap empat yang lain di dua tempat di kawasan Pemulang, daerah Tengerang, Banten.

Kumpulan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan jaringan kumpulan pengganas di Aceh Besar, yang masih diburu polis sejak beberapa hari kebelakangan ini,

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia, Edward Aritonang memberitahu wartawan petang ini bahawa lelaki itu ditembak mati di kediamannya di Jalan Siliwangi, Tengerang, kerana melawan polis dengan melepaskan tembakan ketika dia hendak ditangkap.

Polis turut menjumpai daripada suspek sepucuk revolver berisi lima butir peluru hidup selain 12 butir peluru hidup dan 1 butir kelongsong peluru di kediamannya itu.

"Suspek sempat melepaskan satu das tembakan ke arah polis namun ia tidak mengenai sasaran. Kerana itulah, polis menembak beliau," kata Aritonang.

Polis turut menahan seorang wanita dan tiga orang kanak-kanak kerana berada di tempat kejadian semasa penangkapan sedang dilakukan namun mereka cuma ditahan untuk diminta keterangan mengenai aktiviti seharian suspek.

Sementara itu, polis turut menangkap empat suspek lain di Jalan Setiabudi, Pamulang, Tengerang hari ini.

Aritonang berkata, suspek yang ditembak mati dan ditahan itu dipercayai menjadi pembekal senjata api dan penyumbang dana kepada kumpulan pengganas di Aceh Besar.

Penangkapan mereka dibuat hasil maklumat yang diperolehi daripada beberapa suspek pengganas yang ditahan di Aceh Besar beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jaringan pengganas itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Sebelum ini, polis telah menembak mati tiga orang suspek pengganas dan menangkap 14 yang lain dalam operasi besar-besaran di Aceh Besar.

Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf pula memberitahu pemberita bahawa Aceh mungkin mahu dijadikan pangkalan kumpulan pengganas di Asia Tenggara.

Ini kerana penduduk Aceh dan kerajaannya adalah berasaskan pemerintahan Islam, dan secara Kebetulannya sebelum ini mempunyai gerakan pemisah yang dikenali sebagai GAM itu.

Minggu lepas, polis juga menangkap dua suspek pengganas, seorang di Bandung, Jawa Barat dan seorang lagi di sini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan Djoko Suyanto dipetik oleh agensi berita Antara hari ini sebagai berkata bahawa sehingga kini belum ada sebarang perubahan dibuat terhadap program lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Indonesia, berikutan perkembangan terbaru dalam operasi polis terhadap kumpulan yang disyaki pengganas itu.

Obama dijadual berkunjung ke Indonesia mulai 20 hingga 22 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Lain