suria

Melaka Sasar Ketibaan 8 Juta Pelancong Pada 2010

MELBOURNE: Melaka berpuas hati dengan pertumbuhan industri pelancongannya dan menjangkakan ketibaan lapan juta pelancong tahun ini, mengatasi angka 7.5 juta pelawat pada 2009.

"Kami kini menjadi tumpuan pelancongan di tanah besar Malaysia kerana negeri kami mempunyai banyak tarikan untuk ditawarkan kepada pelancong, terutama dari luar negara, yang kagum dengan tempat-tempat bersejarah dan cara hidup kami," kata Mohd Ariff Shah Abdullah Sani, Ketua Eksekutif Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

"Kami juga bernasib baik kerana Ketua Menteri kami, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, memberi sokongan 100 peratus kepada industri pelancongan Melaka dan secara peribadi mengalu-alukan pelawat ke negeri kami," katanya kepada Bernama.

"Datuk Seri faham dengan kedudukan Melaka yang kaya dengan sejarah, kepelbagaian kebudayaan dan kaum dan menggalakkan kami mempromosikan aset pelancongan kami yang mengagumkan ini," katanya.

"Pelancong datang ke Malaysia bukan untuk melihat bangunan pencakar langit dan stuktur moden lain. Mereka lebih berminat dengan sejarah Malaysia, rumah dan bangunan bersejarah, warisan kami yang berusia beberapa ratus tahun, dan semua ini terdapat di Melaka.

"Sebab itu Melaka kini semakin popular di kalangan pelawat ke Malaysia. Daripada segi pelancongan, kami lebih maju daripada mana-mana negeri di tanah besar Malaysia," katanya.

Mohd Ariff Shah, yang menghadiri 2010 AIME (Ekspo Insentif & Mesyuarat Asia-Pasifik) di sini minggu ini, berkata ini merupakan kali pertama Melaka mengambil bahagian dalam acara dua hari itu.

Beliau berkata Melaka telah memperoleh perniagaan bernilai kira-kira RM2 juta pada ekspo di sini.

"Kami menjangkakan lebih banyak perniagaan akan mengalir masuk kepada kami sebaik sahaja para pembeli pada konvensyen ini kembali ke agensi mereka dan menggariskan program MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) mereka bagi bulan dan tahun akan datang.

"Petanda daripada ekspo ini amat positif kepada Melaka. Banyak pertanyaan diterima daripada India dan China. Kami telah bertemu dengan beberapa pembeli berprofil tinggi dari India di sini di Melbourne. China lebih berminat dengan pelancongan berkumpulan," katanya.

"Kami dapat menampung jumlah besar orang yang mahu melawat Melaka. Kami mempunyai kira-kira 15,000 bilik hotel dan kadar penginapan kami amat tinggi. Kami menerima banyak tempahan pada hujung minggu." Mohd Ariff Shah berkata lapangan terbang antarabangsa Melaka yang baru akan menjadi aset utama kepada negeri itu.

"Ia amat dekat dengan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) dan ini antara kelemahannya, tetapi Melaka boleh menjadi tempat mendarat yang unggul bagi syarikat penerbangan negara Asia dan penerbangan tambang murah lain yang membawa pelawat dari kawasan serantau ke Melaka dan Malaysia.

"Australia dan New Zealand juga merupakan pasaran penting dan berikutan hubungan rapat kami dengan kedua-dua negara ini, kami merancang untuk menerokai pasaran ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain