suria

Industri Penerbangan Tunjuk Pertumbuhan Menggalakkan, Kata IATA

MELBOURNE: Trafik penumpang udara antarabangsa berkembang 6.4 peratus pada Januari berbanding dengan setahun sebelum ini, berikutan peningkatan penumpang di Asia, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Permintaan kargo turut berkembang 28.3 peratus pada Januari berbanding bulan yang sama pada 2009, dan meningkat 3.0 peratus dari Disember, apabila perniagaan mulai mengemaskinikan stok masing-masing, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di dalam satu kenyataan Selasa.

"Kami semakin melihat tanda-tanda permintaan yang menggalakkan, dengan perbezaan yang besar antara sesama rantau, kata Ketua Pengarahnya, Giovanni Bisignani.

Keadaan trafik penumpang yang pulih dilihat di kalangan syarikat penerbangan Asia Pasifik yang mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus tahun ke tahun.

Berbanding dengan paras terendah pada 2009, permintaan yang dicatatkan syarikat-syarikat penerbangan itu telah meningkat 31 peratus.

"Syarikat penerbangan dunia mengalami kemerosotan trafik paling tinggi sejak 1945 pada tahun lepas, semasa krisis ekonomi, yang menjadikan 2009 "tahun terburuk yang pernah dilihat oleh industri itu," kata IATA, sambil menyatakan pemulihan pada 2010 dijangka perlahan.

Sebagai tambahan, ia mengunjurkan syarikat penerbangan akan mengalami kerugian AS$5.6 bilion pada 2010. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain