suria

Serangan Bom Terhadap Bank Di Thai Berterusan

NARATHIWAT: Dua cedera dalam sembilan siri serangan bom di beberapa kawasan di wilayah Narathiwat termasuk di dua premis bank tempatan hari ini.

Ini merupakan siri kedua serangan bom di premis bank tempatan. Lima premis bank di Bangkok, empat daripadanya milik Bangkok Bank, diserang dengan bom Sabtu lepas.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar General Pol Chaitat Intanujit berkata bom buatan sendiri itu meletup di cawangan Government Savings Bank di daerah Muang, di sini pada pukul 6.30 pagi.

Letupan yang berlaku di mesin ATM bank terbabit bertempat di cawangan bank itu menyebabkan premis itu rosak teruk, katanya.

"Ketika polis sedang membuat siasatan di tempat kejadian, dua lagi bom meletup kira-kira 500 meter dari tempat itu," katanya.

Chaitat berkata, bom keempat juga bom buatan sendiri seberat tiga kilogram meletup di mesin ATM milik KrungThai Bank yang bertempat di hadapan Pejabat Datuk Bandar Narathiwat pada pukul 6.50 pagi.

"Kejadian itu menyebabkan seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci, Prom Sipon, 46, cedera parah," katanya.

Sejurus selepas itu, satu lagi bom yang disembunyikan dalam tong sampah meletup kira-kira 300 meter dari Pejabat Datuk Bandar Narathiwat.

Chaitat berkata, bom keenam meletup pada kira-kira pukul 7 pagi di mesin ATM Government Saving Bank yang terletak di cawangan bank itu di Tanjung Mas, Ranget menyebabkan seorang lelaki, Chanwat Uapanyasil, 26, cedera.

Beliau berkata, polis berjaya mematikan bom ketujuh dan kelapan yang masing-masing ditemui di cawangan KrungThai Bank dan cawangan Bank for Agriculture and Agricultural Cooperatives, kedua-duanya di Tanjung Mas, Ranget.

Bom yang akhir meletup di sebatang jalan di daerah Bacho ketika sekumpulan tentera meronda kawasan itu. Tiada kecederaan dilapor.

Chaitat berkata, polis percaya keemua bom diletupkan dengan menggunakan jam digital.

Beliau juga percaya serangan bom di premis bank dan mesin ATM mereka mempunyai kaitan dengan keputusan Mahkamah Agung Jumaat lepas yang memutuskan untuk merampas aset bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang dibeku.

Dalam keputusannya, Bahagian Jenayah bagi Penjawat Jawatan Politik di Mahkamah Agung memutuskan Thaksin telah menyalahgunakan kuasa semasa tempoh beliau memegang jawatan itu dengan memihak kepada urusan perniagaan syarikatnya dan memerintahkan supaya 46.3 bilion Baht (RM4.7 bilion) daripada 76.6 bilion Baht (RM7.8 billon) aset yang dibekukan milik beliau dan keluarganya dirampas.

Chaitat berkata, berikutan siri serangan bom itu, kawalan keselamatan di Narathiwat terutama di premis-premis bank dipertingkatkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain