suria

Polis Sahkan Tembak Mati Dulmatin, Perancang Serangan Bom Bali

JAKARTA: Polis Indonesia hari ini mengesahkan salah seorang daripada tiga suspek pengganas yang ditembak mati unit khas Densus 88 anti pengganas pasukan itu, di Pamulang, daerah Tangerang, Banten semalam ialah Dulmatin, yang merupakan seorang daripada beberapa perancang serangan bom di Bali pada 2002, yang mengorbankan 202 jiwa.

Dulmatin, yang bukan sahaja dikehendaki polis Indonesia malah oleh polis Filipina, merupakan pakar bom yang dikatakan memiliki kebolehan melebihi Allahyarham Dr Azahari, yang telah ditembak mati polis Indonesia beberapa tahun lalu.

Beliau adalah salah seorang daripada anggota Jemaah Islamiah (JI), kumpulan yang aktif melancarkan serangan bom di beberapa sasaran di Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Polis Bambang Hendarso Danuri berkata, pengesahan mayat Dulmatin itu dibuat berdasarkan ujian DNA yang sepadan dengan DNA ibunya Maryati dan adik lelakinya Ali Isnan, dengan kemungkinan kesalahan satu berbanding 100,000 trilion.

Selain itu, tanda ditubuhnya seperti tahi lalat di dagu sebelah kiri dan persamaan bentuk kening dan dagunya, meyakinkan polis bahawa mayat itu adalah Yahya Ibrahim atau Mansyur atau Joko Pitono atau Dulmatin, katanya pada persidangan media di sini.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang sedang dalam rangka lawatan ke Australia, telah mengumumkan mengenai penembakan mati Dulmatin, pengganas paling dikehedaki di Asia Tenggara, ketika berucap di Parlimen, Australia tengah hari ini, sebelum polis mengumumkan perkara berkenaan kepada media di sini.

Bambang berkata, Dulmatin dikenal pasti sebagai orang yang bertanggungjawab merancang latihan ketenteraan kepada sekumpulan anggota JI di Aceh Besar dengan dana berjumlah Rp500 juta.

Dulmatin ditembak mati ketika sedang bersembang menerusi laman web di sebuah kafe siber di Jalan Prabu Siliwangi, pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

Selain Dulmatin, pasukan Densus 88 turut menembak mati dua pengawalnya iaitu Hasan Nur dan Ridwan, ketika mereka sedang menaiki motorsikal di Lorong Asem, Pamulang, kira-kira satu kilometer dari tempat Dulmatin.

Bambang berkata, dengan perkembangan terakhir ini, operasi polis untuk menangkap kumpulan pengganas yang dilancarkan sejak sebulan lalu telah menghasilkan kejayaan apabila enam ditembak mati dan 38 yang lain ditangkap.

Sepanjang operasi itu, tiga anggota polis telah terkorban ketika mereka sedang memburu sekumpulan pengganas di Aceh Besar pada 22 Feb lepas. Mereka yang terbunuh itu ialah Brigedier Satu Boas Woasiri, Brigedier Dua Darmansyah dan Brigedier Dua Sri Hendrik Kusumo.

Bambang berkata, dalam serbuan di Pamulang semalam, polis merampas barang bukti antaranya satu alat kawalan letupan bom, lima papan PVC yang biasanya digunakan untuk memasang bom, slip penukaran wang peso pada tahun 2003 dan 2009, satu pasport milik Dulmatin, sepucuk revolver .38, sepucuk pistol FN, sebuah telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sebuah kamera video.

Sementara itu, dalam operasi di Aceh Besar, polis berjaya merampas sembilan pucuk senjata api meliputi revolver, FN, rifel M16, AK58 dan AK47 dengan belasan ribu peluru rifel, kata ketua polis Indonesia itu.

Turut dirampas ialah sejumlah pakaian seragam celoreng tentera.

"Pada masa ini Densus 88 masih memburu saki-baki kumpulan pengganas ini di Aceh Besar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain