suria

Bangkok Bersiap Sedia Hadapi Demonstrasi Terbesar Ahad Ini

BANGKOK: Bangkok bakal menyaksikan demonstrasi terbesar dalam sejarahnya Ahad ini setelah kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bermula hari ini dan penunjuk perasaan dari seluruh pelosok Thailand pula tiba mulai esok.

ISA akan digunakan hingga 23 Mac bagi membolehkan polis dan tentera berganding bahu bagi memelihara keamanan dan ketenteraman awam memandangkan ada kemungkinan tunjuk perasaan berkenaan berlarutan sehingga selepas Ahad ini.

Perdana Menteri Abhishit Vejjajiva berjanji pentadbiran beliau akan berusaha sedaya upaya bagi memelihara keamanan dan keselamatan di negara ini, di samping memberi ruang kepada rakyat mengamalkan hak mereka di sisi perlembagaan untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Pemerintahan Diktator (UDD), yang menganjurkan tunjuk perasaan oleh kumpulan berbaju merah itu, menyasarkan penyertaan oleh sejuta orang, manakala kerajaan pula menganggarkan ia akan hanya disertai beratus ribu orang.

Demonstrasi berkenaan, yang akan diadakan di Sanam Luang dan beberapa kawasan lain di sini, bertujuan memberi tekanan kepada pentadbiran Abhisit supaya berundur atau membukarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum baru diadakan.

Matlamat mereka adalah untuk menggulingkan "amataya" kumpulan elit yang menguasai kerajaan secara di sebalik tabir. Mereka berhasrat membawa kembali bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra ke dalam arus utama politik Thailand.

Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah perlu bagi melindungi keselamatan rakyat tempatan dan warga asing di negara ini serta tempat-tempat penting seperti Rumah Kerajaan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, hospital, bank, lapangan terbang, hab pengangkutan awam, institusi pengajian dan kemudahan awam.

Keselamatan haiwan juga tidak diabaikan dalam menghadapi kemelut politik ini apabila tiga gajah, dua burung jenjang, enam kangaru merah dan tiga walabi dipindahkan ke tempat lain dari dari Zoo Bangkok.

Kerajaan juga membentuk kabinet mini yang dianggotai sembilan menteri bagi membuat keputusan kerajaan sekiranya keadaan memerlukan, tanpa memerlukan kesemua 35 anggotanya dipanggil bermesyuarat, kata Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban semalam.

Pemimpin UDD, Jatuporn Prompan, berjanji tunjuk perasaan itu akan diadakan secara aman dan pesertanya tidak akan merampas lapangan terbang serta kemudahan awam dan persendirian. - BERNAMA

Artikel Lain