suria

Kumpulan Baju Merah Teruskan Perjalanan Ke Bangkok

BANGKOK: Kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan meneruskan perjalanan mereka dari seluruh negara menuju ke ibu kota hari ini bagi menyertai perhimpunan besar-besaran esok untuk mendesak kerajaan semasa supaya berundur.

Mereka menaiki kereta, van, kenderaan 'pick-up', teksi dan bas dari utara, timur laut, barat serta selatan negara ini sejak semalam dengan sebahagian daripada mereka telah pun tiba di destinasi masing-masing manakala sebahagian lagi sedang dalam perjalanan.

Kehadiran mereka akan meningkatkan jumlah sejuta penunjuk perasaan yang disasarkan oleh Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator (UDD) yang mengetuai perhimpunan besar-besaran kumpulan baju merah di sini.

Sama ada sasaran itu dapat dicapai akan diketahui menjelang tengah hari esok apabila mereka berhimpun di jambatan Phan Fa di Ratchadamneon Avenue bagi mendengar ucapan pemimpin UDD yang mahu kerajaan sama ada berundur atau membubarkan Parlimen, sekali gus merintis laluan untuk pilihan raya umum yang baru.

Segala persediaan telah pun siap diatur untuk hari yang sangat penting esok dengan pentas dibina di jambatan itu sejak malam semalam dan khemah didirikan manakala ada di antara kumpulan yang hadir itu menyediakan makanan serta air selain tandas bergerak.

Sementara itu, 50,000 tentera dan polis turut bersiap sedia bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

Tiada insiden tidak diingini dilaporkan setakat ini sejak beribu-ribu penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi secara aman di beberapa lokasi di bandar raya ini semalam.

Pemimpin UDD Natthawut Saikua mengancam untuk melumpuhkan ibu kota ini pada Isnin sekiranya tuntutan mereka esok tidak dipenuhi kerajaan dan adalah sah bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan seperti itu.

Semalam, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata ancaman itu tidak dapat diterima dan kerajaan akan mendengar hanya kepada petisyen yang dibuat dengan sewajarnya mengikut perlembagaan.

Tunjuk perasaan kumpulan baju merah itu dijangka berlanjutan sehingga esok dan masih belum jelas sama ada demonstrasi secara aman akan diteruskan. - BERNAMA

Artikel Lain