suria

Thailand Bersedia Bina Terowong Sempadan

KANGAR: Cadangan mewujudkan terowong yang menghubungkan wilayah Satun di Thailand dan Perlis akan dapat direalisasikan jika kerajaan Malaysia bersetuju dengannya, kata Gabenor Wilayah Satun, Sumeth C. Vatnikul.

Beliau berkata Thailand bersetuju dengan cadangan itu yang dibangkitkan lebih enam bulan lalu dan hanya menunggu lampu hijau daripada Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan Kelab Usahawan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di sini hari ini, katanya jika cadangan ini dapat direalisasikan, ia merupakan satu-satunya pintu sempadan yang mempunyai terowong yang menghubungkan Thailand dan Malaysia.

Pada Jun lalu, Sumeth dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berbincang mengenai perkara yang sama dan kedua-dua pihak bersetuju memanjangkan perkara itu kepada kabinet negara masing-masing.

Sumeth berkata, jika terowong itu diadakan ia akan menjadi pemangkin baru bagi sektor ekonomi kerana ia juga pasti dapat memikat pelancong.

Terowong itu dianggarkan sepanjang empat kilometer dengan 1.5 kilometer merentasi banjaran Bintang di sebelah Malaysia manakala 2.5 kilometer lagi di banjaran Sangkakiri di bahagian Thailand.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Usahawan NCER, Dr Ammar Hassan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dalam melaksanakan projek yang dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit itu.

Katanya, projek itu jika dilaksanakan akan mengubah lanksap fizikal dan ekonomi kawasan persekitarannya.

Para usahawan dan peniaga terutama di Perlis sudah pasti akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan projek itu, tambah beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain