suria

Abhisit Tidak Akan Letak Jawatan

BANGKOK: Menghampiri tempoh 24 jam yang diberi kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan bermula pukul 12 tengahari semalam, Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva hari ini mengulangi pendirian tidak akan meletak jawatan mahupun membubarkan Parlimen seperti yang dituntut kumpulan itu.

"Saya tidak akan meletak jawatan ataupun membubarkan Parlimen," katanya kepada pemberita di Regimen ke-11 Infantri, iaitu lokasi pusat kawalan keselamatan yang diwujudkan kerajaan untuk memantau perhimpunan itu.

Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktaktor (UDD) yang mengetuai perhimpunan itu di sini memberi tempoh 24 jam untuk kerajaan memenuhi tuntutan mereka bermula pukul 12 tengahari semalam waktu tempatan.

Mereka berarak lebih lima kilometer dari Jambatan Phan Ba di Ratchadamneon Avenue ke pusat kawalan pagi ini untuk mendapatkan jawapan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Keselamatan Suthep Thaugsuban dan pegawai atasan tentera serta polis pada kebiasaanya beroperasi dari pusat kawalan itu yang ditubuhkan selepas kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri bermula 11 hingga 23 Mac di tujuh wilayah termasuk Bangkok.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus mengawal keamanan dan keselamatan di negara itu dan tidak ada laporan mengenai keganasan sepanjang perhimpunan berlangsung sejak tiga hari lepas.

Sejurus selepas sidang media pada pukul 10.15 pagi itu, Abhisit menaiki helikopter bersama Menteri Pengangkutan Sopon Zarum untuk meninjau keadaan trafik di ibu negara tersebut.

Kumpulan utama penunjuk perasaan belum tiba di pusat kawalan ketika Abhisit meninggalkan tempat itu.

Dilaporkan kumpulan penunjuk perasaan itu mengancam untuk mengepung pusat tersebut dan menjadikan mereka yang berada di dalamnya sebagai tebusan melainkan permintaan mereka dipenuhi.

Kawalan keselamatan di pangkalan tentera itu telah dipertingkatkan dengan pasukan tambahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain