suria

Badan Bantu Masyarakat Islam Kemboja Dicadangkan

KANGAR: Majlis Muafakat Dakwah Islam Malaysia-Kemboja hari ini mencadangkan penubuhan sebuah badan membantu masyarakat Islam Kemboja memajukan sistem pendidikan dan pembangunan agama Islam di negara itu.

Ketua Urusetia majlis muafakat itu, Zulkifli Daud berkata, selain itu, majlis itu juga memohon supaya para pelajar Kemboja yang belajar di negeri ini diringankan beban mereka termasuk membuat mengurangkan kadar yuran pengajian.

Kemboja juga memerlukan bantuan bagi pembinaan pejabat zakat, katanya pada majlis silaturahim Majlis Agama Islam Kemboja dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini.

"Pembinaan pejabat itu penting bagi menguruskan urusan zakat dan merancang pembangunan ekonomi negara itu," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman.

Menurutnya, sebanyak 500,000 masyarakat Melayu Kemboja memerlukan pembelaan sewajarnya setelah mereka begitu lama tertindas dan ketinggalan di negara itu. Delegasi Majlis Agama Islam Kemboja itu yang diketuai Mufti negara itu Kamarudin Yusof kemudiannya menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau.

Pada majlis menghadap itu, Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs turut menyatakan bahawa Allianze College of Medical Science (ACMS) bersedia menawarkan 50 biasiswa kepada para pelajar dari negara itu.

ACMS dengan kampus utamanya di Bertam, Pulau Pinang bakal membuka kampus cawangannya di Perlis tidak lama lagi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain