suria

Universal Studios Singapura Sasar 4.5 Juta Pelawat

SINGAPURA: Universal Studios Singapura yang terletak dalam lingkungan Resorts World Sentosa (RWS) di Pulau Sentosa dengan rasminya telah bersedia untuk dibuka kepada orang ramai pada Khamis ini.

Pembukaan taman bertema itu akan menjadi pemula kepada projek pembangunan fasa RWS milik Genting Malaysia yang menelan kos AS$4.4 bilion.

Pusat peranginan itu membuka empat buah hotel iaitu Hard Rock Singapore, Festive Hotel, Hotel Michael dan Crockfords Tower pada bulan Januari dan disusuli dengan pembukaan kasino bulan lepas.

Bercakap kepada pemberita semasa lawatan pra-pembukaan hari ini, Penolong Pengarah Komunikasi RWS berkata yang 4.5 juta pelawat dijangka melawat Universal Studios sementara pusat peranginan itu menjangkakan ketibaan lebih daripada 13 juta pelancong.

Pembukaan pusat peranginan itu mendahului sebuah lagi pusat peranginan bersepadu berkos berbilion-bilion dolar AS iaitu Marina Bay Sands yang dijadual dibuka bulan depan.

Goh berkata Universal Studios Singapura, taman tema terbesar di rantau Asia Tenggara membawa bersama taman-taman tema Universal Studios yang terbaik di Hollywood (California), Orlando (Florida) dan Osaka (Jepun).

Taman itu mengetengah 24 permainan tunggangan dan tarikan dalam tujuh zon bertema - Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away and Madagascar dan 18 daripadanya adalah asli dan diadaptasikan untuk Singapura.

Harga-harga tiket untuk pas satu hari ke Universal Studios, termasuk untuk semua permainan tunggangan dan bergantung kepada musim puncak dan bukan puncak, ialah dari S$66 hingga S$72 untuk dewasa, S$48 hingga S$52 untuk kanak-kanak, berusia antara empat dan 12 dan S$32 hingga $36 untuk warga eman melepasi usia 65 tahun.

Bagaimanapun, tiket-tiket ke Universal Studios, dari hari pembukaan sehingga Ahad telah habis terjual berikutan cuti sekolah di Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain