suria

Kumpulan Baju Merah Simbah Darah Di Kediaman Perdana Menteri Thailand

BANGKOK: Kumpulan anti kerajaan Thailand, atau dikenali sebagai kumpulan berbaju merah, hari ini menyimbah darah mereka secara simbolik di kediaman Perdana Menteri di sini, di tengah hujan lebat tengah hari ini sebagai satu usaha menggesa kerajaan membubarkan Parlimen.

Mereka dihalang oleh pihak berkuasa daripada menghampiri kediaman Abhisit Vejjajiva di Sukhumvit Soi 31 itu, tapi dibenarkan mencurahkan darah yang dikumpulkan mereka, kira-kira 5 meter dari pintu masuk utama kediaman.

Kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator (UDD) seperti Nattawut Saikua, Jatuporn Prompan, dan Arisman Pongruangrrong itu sampai di kawasan kediaman Perdana Menteri yang dikawal rapi oleh polis dan tentera pada pukul 11 pagi.

Polis membenarkan mereka meneruskan hasrat untuk mencurah darah itu dari jarak 5 meter dari pintu masuk utama kediaman tersebut selepas satu persetujuan dicapai antara pemimpin penunjuk perasaan dan polis dalam rundingan berhampiran kediaman itu.

Beberapa penunjuk perasaan dilihat membaling beberapa beg yang dipercayai mengandungi darah ke dalam kawasan persekitaran kediaman itu.

Abhisit ketika kejadian berada di wilayah Songkhla bagi menghadiri majlis pengebumian bekas ketua polis Bannang Sata, Sompian Eksomya, yang terbunuh dalam serangan bom di wilayah Yala Jumaat lepas.

Secara keseluruhan keadaan keselamatan di kediaman Perdana Menteri terkawal dan penunjuk perasaan kemudiannya meninggalkan kawasan itu selepas menunaikan hasrat untuk mencurah darah itu.

Semalam, kumpulan penunjuk perasaan itu mencurahkan darah mereka di bangunan pentadbiran kerajaan atau dikenali sebagai 'Government House' yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, dan juga ibu pejabat parti pemerintah, Parti Demokrat, di ibukota.

Polis sehingga kini masih belum menahan Arisman yang waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam ketenteraman awam sebelum perhimpunan besar Ahad lepas.

Arisman belum ditangkap kerana polis tidak mahu mencetuskan kekecohan di kalangan penunjuk perasaan itu, semasa mereka mengadakan perhimpunan besar-besaran secara aman, yang kini memasuki hari ke-enam. - BERNAMA

Artikel Lain