suria

Abhisit Sedia Runding Tanpa Syarat Dengan Kumpulan Baju Merah

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, bersedia mengadakan rundingan dengan pemimpin kumpulan anti kerajaan bagi menyelesaikan krisis politik negara itu.

Rundingan dengan Kumpulan Baju Merah itu perlu diadakan mengikut lunas undang-undang dan tiada syarat diletakkan sebelum rundingan itu dapat dijalankan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abhisit berkata demikian ketika mengulas cadangan rundingan oleh Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD), yang memimpin demonstrasi di seluruh negara khususnya di ibu negara itu sejak seminggu lalu.

Kumpulan penunjuk perasaan itu menuntut Abhisit meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen.

Abhisit menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyebut untuk membubarkan Parlimen tetapi akan hanya berbuat demikian jika yakin langkah itu akan membawa kepada penyelesaian secara aman.

Butiran mengenai rundingan itu belum diketahui setakat ini.

Pada Selasa lalu, kumpulan anti kerajaan itu menyimbah darah anggota kumpulan itu di Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri di sini selepas Abhisit menolak dua tuntutan kumpulan itu.

Kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu merancang mengubah strategi dengan mengadakan perhimpuan di seluruh bandaraya Bangkok Sabtu ini. - BERNAMA

Artikel Lain