suria

Kapal Tunda Singapura Yang Dirampas Ditemui Di Perairan Filipina

SINGAPURA: Kapal tunda yang berdaftar di Singapura dan dirampas bersama ketua juruteranya berhampiran Pulau Tioman pada 6 Februari lepas ditemui di perairan Filipina semalam.

Namun kapal bernama 'ASTA' itu ditemui dengan nama baru 'ROXY-I' sekalipun nombor pendaftaran Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) tercatat sebagai ASTA.

Pusat Perkongsian Maklumat Asia menerusi Perjanjian Serantau bagi Memerangi Pelanunan dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal (ISC ReCAAP) berkata kapal itu ditemui pasukan polis Filipina yang kemudian memaklumkan kepada pengawal pantai negara tersebut.

Pasukan itu kemudian menghantar sebuah bot peronda ke kawasan berhampiran Pulau Dinagat, di utara Mindanao iaitu di tempat kapal tersebut dilihat pada kali terakhir dan menahannya.

Pusat itu berkata tujuh orang yang disyaki lanun berada di atas kapal tersebut turut ditahan dan diserahkan kepada polis Filipina untuk tujuan siasatan.

Drama rampasan kapal tunda itu terbongkar apabila Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesan dan menyelamatkan 11 anak kapal warga Indonesia berusia antara 22 dan 49 tahun yang ditemui di atas sebuah rakit berdekatan Pulau Layang-Layang selepas lapan hari hanyut di tengah laut, pada pagi 17 Februari lepas.

Kapal itu sedang menunda sebuah tongkang bernama Callista dan menuju ke Kemboja apabila dirampas.

Menurut anak kapal, lapan perompak bersenjata api menaiki tongkang itu sebelum menawan kedua-dua kapal dan menghanyutkan mereka di atas sebuah rakit empat hari kemudian iaitu pada 10 Februari.

Tongkang itu ditemui berhampiran Pulau Tioman pada hari yang sama anak kapal yang dihanyutkan ditemui tanpa ketua jurutera mereka.

Anak kapal itu telah diserahkan kepada pegawai diplomatik Indonesia di Sabah untuk dihantar balik.

Pusat tersebut memuji pihak berkuasa Malaysia dan Filipina di atas usaha mereka menyelesaikan kes tersebut dan menyifatkannya sebagai hasil kerjasama yang baik di antara kedua-dua agensi kerajaan dan perkongsian maklumat antara pasukan penguatkuasa kedua-dua negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain