suria

17 Mayat Ditemui Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Bandung

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat sudah menjumpai 17 mayat daripada kira-kira 70 orang yang dilaporkan hilang selepas 50 buah rumah dan sebuah kilang teh tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan kebun teh Desa Tenjolaya, Pasirjambu, Bandung sejak pagi semalam.

Identiti 15 daripada mayat itu telah dikenal pasti dan sebahagian daripada mereka sudahpun dikebumikan di sekitar kawasan desa itu.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Priyadi Kardono berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa dihentikan beberapa jam sejak pukul 11 pagi ini kerana hujan lebat dan keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan berlaku lagi tanah runtuh di kawasan itu.

Mangsa-mangsa yang terselamat, yang berjumlah ratusan orang, kini ditempatkan sementara di khemah-khemah atau menumpang di rumah penduduk di kawasan yang berjauhan dari tempat kejadian.

Naib Presiden Boediono melawat tempat kejadian hari ini bagi meninjau operasi SAR dan kawasan kejadian selain melawat mangsa-mangsa yang terselamat.

Priyadi berkata satu pasukan pakar geologi dari Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral telah berada di lokasi bagi menyiasat punca kejadian itu. Dua buah jentera berat juga berjaya dibawa masuk ke lokasi bagi membantu operasi.

Kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai pekerja kebun dan pekerja kilang teh kerana bangunan yang tertimbus terdiri daripada rumah pekerja yang diperbuat daripada kayu, sebuah kilang teh dan pejabat perusahaan itu serta kemudahan sukan dan rekreasi.

Sementara itu senarai mangsa yang dilaporkan masih hilang dalam kejadian itu telah dikurangkan kepada 29 orang daripada 38 orang sebelum ini setelah didapati ada pertindihan nama, tetapi pihak berkuasa masih percaya bahawa mangsa yang hilang dalam kejadian itu mencapai angka 70 orang.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa sebelum ini terpaksa dijalankan secara manual sejak petang semalam kerana jentera berat sukar untuk dibawa masuk ke tempat kejadian. Operasi itu dihentikan malam tadi setelah cuaca gelap dan ia disambung semula pagi ini.

"Tebing yang runtuh berketinggian 300 meter, sementara lebarnya 100 meter, menjadikan runtuhan tanah menjadi sangat tebal. Dengan peralatan manual (sebelum ini), operasi berjalan agak lambat," katanya.

Pihak BNPB sedang mengkaji kemungkinan kejadian tanah runtuh itu diakibatkan oleh kesan gempa bumi di Jawa Barat pada September tahun lalu yang menyebabkan bukit-bukit di kawasan itu menjadi retak.

Keretakan yang tidak diperbaiki dan ditambah dengan hujan lebat mungkin melemahkan kekuatan tanah di kawasan itu dan berisiko tinggi mengalami tanah runtuh, katanya.

Pasukan SAR perlu menempuh perjalanan kira-kira tiga jam dari jalan raya di Jambupasir untuk ke lokasi kejadian kerana jalan perhubungan ke kawasan itu terputus akibat kejadian berkenaan.

Pasukan SAR dan anggota media yang membuat liputan kejadian itu terpaksa memasang satelit di kawasan itu untuk melaporkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi semalam dan pihak berkuasa hanya mengetahui mengenainya tujuh setengah jam selepas ia berlaku.

Desa Tenjolaya terletak kira-kira tujuh jam perjalanan berkereta dari Jakarta. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain