suria

Kehilangan Dua Rakyat Malaysia Bukan Angkara Abu Sayyaf - Polis

KUALA LUMPUR: Polis menolak andaian kehilangan dua pekerja tempatan syarikat rumpai laut di Pulau Sebangkat, Semporna, Sabah baru-baru ini merupakan angkara kumpulan Abu Sayaff sebaliknya ia mempunyai kaitan dengan perbuatan "orang dalam".

Komander Pasukan Gerakan Marin Datuk Isa Munir berkata berdasarkan laporan dan bukti awal yang diterima, insiden itu mempunyai kaitan dengan orang dalam.

"Ini kerana berdasarkan kepada keadaan perairan batu karang yang cetek di samping barisan tali tempat menggantung bibit rumpai laut yang bersimpang siur di kawasan berkenaan, cuma orang yang biasa dengan tempat itu sahaja yang boleh masuk dan keluar dari tempat itu dengan mudah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Isa berkata memang terdapat khabar angin antaranya kedua-dua mangsa diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kini disorok di Kepulauan Sulu, selatan Filipina, namun itu bukan maklumat yang boleh disahkan.

Dalam kejadian 8 Februari itu, dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu dilaporkan hilang selepas sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal merompak pusat pembiakan rumpai laut itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain