suria

Enam Mayat Ditemui, 60-70 Masih Hilang Dalam Kejadian Tanah Runtuh

JAKARTA: Enam mayat ditemui setakat tengah hari ini dalam kejadian tanah runtuh di kawasan kebun teh Desa Tenjolaya, Pasirjambu, Bandung semalam sementara 60 hingga 70 orang lagi dipercayai masih tertimbus dalam kejadian yang meranapkan kira-kira 50 bangunan kediaman dan sebuah kilang teh di situ.

Semua mayat yang ditemui adalah perempuan dengan seorang daripadanya ialah kanak-kanak.

"Namun baru lima orang yang dapat dikenalpasti," kata Ketua Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB)Dr Priyadi Kardono kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang terkorban itu dipercayai pekerja kebun dan kilang teh kerana bangunan yang tertimbus terdiri daripada rumah pekerja yang diperbuat daripada kayu, sebuah kilang teh dan pejabat perusahaan itu serta kemudahan sukan dan rekreasi.

Priyadi berkata pihaknya baru menerima laporan kehilangan anggota keluarga yang berjumlah 38 orang namun adalah dipercayai bahawa antara 60 hingga 70 orang hilang dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dijalankan secara manual sejak petang semalam dihentikan malam tadi setelah cuaca gelap dan ia disambung semula pagi ini.

"Jentera berat belum ada yang masuk kerana lokasi yang sangat sulit dijangkau (sukar untuk sampai). Tebing yang runtuh berketinggian 300 meter, sementara lebarnya 100 meter, menjadikan runtuhan tanah menjadi sangat tebal. Dengan peralatan manual, operasi berjalan agak lambat," katanya.

Pihak BNPB sedang mengkaji kemungkinan kejadian tanah runtuh itu diakibatkan oleh kesan gempa bumi di Jawa Barat pada September tahun lalu yang menyebabkan bukit-bukit di kawasan itu menjadi retak.

Keretakan yang tidak diperbaiki dan ditambah dengan hujan lebat mungkin melemahkan kekuatan tanah di kawasan itu dan berisiko tinggi mengalami tanah runtuh, katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) perlu menempuh perjalanan kira-kira tiga jam dari jalan raya di Jambupasir untuk ke lokasi kejadian kerana jalan perhubungan ke kawasan itu terputus akibat kejadian berkenaan.

Pasukan SAR dan anggota media yang membuat liputan kejadian itu terpaksa memasang satelit di kawasan itu untuk melaporkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi semalam dan pihak berkuasa hanya mengetahui mengenai kejadian tanah runtuh itu tujuh setengah jam selepas ia berlaku.

Desa Tenjolaya terletak kira-kira tujuh jam perjalanan dengan kenderaan dari Jakarta. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain