suria

Teh Tarik Dijual Di Bazar Diplomatik

BANGKOK: Bayangkan: cerut Cuba, jam tangan Swiss, pakaian Bhutan, nasi lemak dan teh tarik Malaysia semuanya boleh didapatkan di bawah satu bumbung!

Kunjungi Bazar Palang Merah di tingkat lima Siam Paragon Shopping Centre di sini, di mana pegawai-pegawai diplomatik dari seantero dunia menjual produk mereka untuk tujuan amal anjuran Palang Merah Thailand.

Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Malaysia di Bangkok Datin Norshiha Hasbullah berkata selain nasi lemak dan teh tarik, persatuan itu juga menjual biskut, coklat, kek, sabun, kasut dan barang kraf - semuanya buatan Malaysia di bazar dua hari itu bermula hari ini.

Lima puluh peratus dari hasil jualan itu kira-kira 20,000 Baht (kira-kira RM2,000) akan disumbangkan kepada Palang Merah, kata Norshiha dan menambah Kedutaan Malaysia telah menyertai acara tahunan itu selama 43 tahun.

"Orang ramai beratur hendak membeli teh tarik. Sebuah stesen televisyen tempatan menayangkan bagaimana membuat teh tarik," katanya.

Selain bazar, persatuan itu juga menyertai sukan amal boling, tenis dan golf. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain