suria

PDIP Tidak Terlibat Dalam Gerakan "Sweeping" Warga Malaysia, Kata Taufiq

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menyatakan hari ini bahawa ia tidak terlibat dalam gerakan "sweeping" terhadap warga Malaysia pada 8 September tahun lepas.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Dewan Pertimbangan Pusat PDI-P, H.M. Taufiq Kiemas kepada Duta Besar Malaysia Ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan.

Syed Munshe Afdzaruddin yang mengunjungi Taufiq, selaku Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia di sini, berkata pemimpin PDI-P itu turut memohon maaf jika ada persepsi bahawa parti itu terbabit dalam gerakan itu.

"Saya menjelaskan kepada beliau bahawa di pihak Malaysia tidak pernah wujud persepsi ini," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Pada 8 September tahun lepas sekumpulan orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bertindak melakukan apa yang dipanggil gerakan "sweeping" (menyapu bersih) terhadap warga Malaysia yang melintas Jalan Diponegoro, di sini berikutan beberapa isu termasuk yang berkaitan dakwaan kononnya Malaysia "mencuri" tarian Pendet dari Bali.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa sekumpulan kira-kira 50 orang itu yang bersenjatakan buluh runcing memaksa orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulan orang berkenaan rakyat Malaysia, ia akan terus ditahan.

Sebelum ini ada pihak di sini mendakwa kononnya PDI-P menjadi dalang kepada gerakan sweeping itu.

Duta Besar Malaysia itu berkata dalam pertemuan itu Taufiq menegaskan bahawa parti itu sentiasa menghormati dan memahami pentingnya hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia, sebagai negara jiran dan adalah mustahil ia boleh terlibat dalam gerakan itu.

Ketua Umum PDI-P Megawati Soekarnoputri menjadi Presiden Indonesia Kelima dari 2001 hingga 2004.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata pada pertemuan itu beliau turut mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada Taufiq mengenai masalah pencerobohan oleh pihak tertentu ke atas tanah Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia di Jalan Kemang Raya, Jakarta Selatan, sejak 1998, yang sehingga kini belum dapat diselesaikan.

Ketika ditanya pemberita mengenai masalah tanah itu, Taufik berkata perkara itu akan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.

"Kalau tak diselesaikan (masalah ini), kita tidak selesa juga dengan Malaysia," katanya.

Masalah tanah Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia di Jalan Kemang Raya itu membabitkan kawasan seluas 4,950 meter persegi, yang dibeli Kerajaan Malaysia pada tahun 1971.

Rumah itu dikosongkan oleh Duta Besar Malaysia pada 1998 berikutan pergolakan politik di permulaan era reformasi di republik ini dan sejak itu ia telah diduduki sekumpulan orang secara tidak sah.

Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut kembali tanah itu dan Mahkamah Agung Indonesia pada 2004 mengesahkan bahawa tanah itu adalah hak milik Kedutaan Besar Malaysia.

Namun, sejak itu tidak ada sebarang tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan Indonesia terhadap penghuni tidak sah di tanah berkenaan.

Duta Besar Malaysia itu berkata perbincangan beliau dengan Taufiq juga menyentuh isu tenaga kerja Indonesia (TKI) di mana Malaysia dan Indonesia harus memperbaiki sistem penghantaran pekerja bagi menjaga kesejahteraan kepentingan kedua-dua pihak.

Dalam hubungan ini, selain usaha memperbaiki perlindungan terhadap pekerja, kepentingan majikan juga harus diambil kira kerana isu itu melibatkan kepentingan kedua-dua belah pihak.

Di pihak Malaysia ia mendapat manfaat pekerja Indonesia sementara pekerja Indonesia mendapat peluang pekerjaan di Malaysia, katanya.

Dalam soal gaji minimum sebanyak RM800 yang dicadangkan oleh Indonesia, yang turut membabitkan gaji pembantu rumah Indonesia, beliau mencadangkan supaya kajian sebenar dibuat bagi menentukan sama ada jumlah itu berada dalam lingkungan kemampuan rakyat Malaysia dan sama ada produk pekerja itu setimpal dengan gaji yang dibayar.

Taufiq, katanya turut meminta agar hubungan antara Parlimen Malaysia dan Indonesia dapat dipertingkatkan lagi setimpal dengan hubungan di sektor lain kerana kepentingannya sebagai badan yang mengawasi kesejahteraan rakyat dan hubungan perdagangan.

Mengenai soal perbatasan, kedua-dua pihak setuju supaya masalah itu diatasi melalui mesyuarat-mesyuarat bagi mengelakkan ia dibangkitkan sebagai isu dan pada masa yang sama usaha juga perlu dijalankan bagi meningkatkan kerjasama ekonomi di perbatasan laut dan perbatasan darat. - BERNAMA

Artikel Lain