suria

Malaysia Teruskan Kerjasama Dengan UNHCR Selesai Isu Pelarian Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia akan tetap bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Bagi Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) dalam menyelesaikan isu mengenai pelarian antarabangsa walaupun ia bukan negara pihak kepada Konvensyen dan Protokol Berkaitan Status Orang Pelarian 1951.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata kerjasama atas asas kemanusiaan itu dicapai pada pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan wakil UNHCR ke Malaysia, Paul Alan Vernon, di Putrajaya hari ini.

Dalam pertemuan julung kali itu, mereka turut mengambil maklum akan kecemerlangan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan UNHCR dalam memudahcara penyelesaian masalah orang pelarian antarabangsa.

Menurut Wisma Putra, pertemuan itu turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang mengenai isu-isu berkaitan orang pelarian dan pencari suaka di peringkat antarabangsa.

Vernon, seorang warga negara Amerika, merupakan wakil UNHCR ke-12 di Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dengan UNHCR pada 1987 dan pernah ditugaskan di pejabat wakil pertubuhan itu di Terengganu selama empat tahun bermula 1987. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain