suria

Susilo Garis Lapan Misi Untuk Diplomat Indonesia

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono hari ini menggariskan lapan misi untuk dilaksanakan diplomat Indonesia dengan tugas utama menjayakan pembangunan lima tahun negara bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam hubungan itu, katanya diplomat Indonesia berperanan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan selain menarik lebih ramai pelancong ke Indonesia bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam negara.

"Untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 7 peratus pada tahun 2014, diperlukan pelaburan besar-besaran, seperti pembinaan infrastruktur, perindustrian dan pertanian.

"Rata-rata tiap tahun kita perlukan Rp2,000 trilion yang boleh dimobilisasi dari sumber-sumber dalam negeri," kata presiden ketika berucap merasmikan mesyuarat para diplomat Indonesia di Istana Negara pada Khamis.

Misi kedua, kata Susilo ialah memberi penyelesaian kepada permasalahan di Timur Tengah, terutama yang berkaitan dengan keganasan dan misi ketiga ialah dialog antara peradaban dan antara agama.

"Indonesia berperanan secara aktif dalam menyelenggarakan dialog antara peradaban, dialog antara agama, dan hal-hal yang berkaitan dengan itu. Aktif, jangan pasif," katanya.

Kerajaan juga, kata Susilo mahu meningkatkan pengeluaran makanan, tenaga dan air melalui kerjasama dengan negara lain.

Misi berikutnya ialah mencipta peluang kerjasama ekonomi, berkomunikasi untuk memerangi HIV/AIDS dan memberi sumbangan kepada usaha bagi menangani masalah perubahan iklim manakala misi terakhir ialah meningkatkan hubungan baik dengan negara lain.

Presiden Indonesia iaitu juga meminta para diplomat membetulkan sebarang salah tanggapan mengenai negara itu.

"Banyak sekali salah tanggapan tentang negara kita," katanya.

Mesyuarat setahun sekali itu disertai 215 pegawai kanan kementerian luar dan para duta besar Indonesia di seluruh dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain