Enam Pekerja Tanpa Izin Warga Malaysia Ditahan Di Perth - Dunia | mStar

Enam Pekerja Tanpa Izin Warga Malaysia Ditahan Di Perth

MELBOURNE: Enam pekerja tanpa izin warga Malaysia yang melanggari syarat visa kini berada dalam tahanan di Perth, kata Jabatan Imigresen dan Kewarganegaraan (Diac) Australia.

Urusan sedang dibuat bagi menghantar pulang lima lelaki dan seorang wanita itu yang ditahan dalam satu pemeriksaan pematuhan imigresen di pinggir bandar utara Perth pada Khamis.

Keenam-enam mereka bekerja dalam industri hortikultur, kata Diac dalam satu kenyataan.

Seorang jurucakap jabatan itu berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung perihal pekerjaan mereka, termasuk sebarang pembabitan oleh syarikat yang membekal pekerja.

"Operasi ini seharusnya dijadikan amaran bahawa bekerja secara tidak sah dan pelanggaran undang-undang buruh tidak akan dikompromi.

"Jabatan ini komited dalam memastikan integriti program imigresen dan visanya, dan operasi ini membuktikan bahawa sesiapa yang bekerja secara tidak sah atau menggaji pekerja haram, akan ditahan.

Jurucakap itu berkata, majikan mempunyai tanggungjawab untuk menyemak dengan Diac mengenai kesahihan pekerja yang diambil bekerja di Australia.

Antara 2008 dan 2009, Diac mengesan 990 orang yang bekerja secara tidak sah di Australia, termasuk 152 di Western Australia. Menurut jabatan itu, industri pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan hampir 30 peratus pekerja tanpa izin.

Majikan yang disabitkan kesalahan menggaji pekerja tanpa izin, berdepan hukuman denda sehingga A$13,200 (A$1 = RM3) dan penjara dua tahun, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga A$66,000 bagi setiap pekerja tanpa izin yang diambil bekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain