suria

Singapura Boleh Guna Simpanan Perubatan Untuk Rawatan Di Malaysia

SINGAPURA: Mulai 1 Mac ini, pemastautin Singapura boleh menggunakan simpanan mereka dalam skim simpanan perubatan negara atau Medisave untuk penghospitalan dan pembedahan harian di dua hospital di Johor dan Melaka.

Kedua-dua hospital itu ialah Regency Specialist Hospital di Johor dan Mahkota Medical Centre di Melaka, kedua-duanya dikendalikan oleh penyedia penjaga kesihatan dari Singapura, Health Management International Ltd (HMI).

HMI hari ini mengumumkan yang Kementerian Kesihatan republik itu telah memberikan persetujuan kepada pemastautinnya menggunakan Medisave di luar negara untuk penghospitalan dan pembedahan harian yang diluluskan mengikut skim Medisave.

Dr Gan See Khem, pengerusi eksekutif HMI berkata syarikat begitu terharu kerana dipilih oleh kementerian sebagai pusat rujukan Medisave dan menyediakan penghospitalan seberang laut di bawah skim Medisave.

Regency, yang hanya satu jam pemanduan dari Singapura mempunyai 218 katil, menawarkan spektrum meluas penjagaan khusus seperti ortopedik, pembedahan am, perubatan dalaman, kardiologi dan obstetrik dan ginekologi.

Sejak pelancarannya pada November tahun lepas, Regency bukan sahaja menyaksikan peningkatan kukuh bilangan pesakit dari Malaysia tetapi juga pesakit dan pertanyaan dari Singapura.

Regency mempunyai 15 pakar yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai tauliah untuk merawat pesakit dari kedua-dua sempadan.

Dr Gan berkata pengaturan ini membolehkan pemastautin di Singapura menikmati kelebihan dirawat oleh pakar terlatih terbaik dari Singapura di klinik-klinik mereka di republik itu dan pada masa yang sama menikmati penjimatan kos rawatan di Regency di Johor.

Mahkota pula terletak kita-kira tiga jam pemanduan dari Singapura. Ia mempunyai 235 katil dan turut menawarkan rangkaian penuh penjagaan perubatan termasuk neurosurgeri dan onkologi. - BERNAMA

Artikel Lain