suria

10,000 Berdemonstrasi Tidak Wakili Rakyat Indonesia: Jurucakap Presiden

JAKARTA: Kira-kira 10,000 orang yang bercadang untuk berdemonstrasi di hadapan Istana Merdeka esok sempena 100 hari pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Boediono bagi melahirkan perasaan hilang kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara itu, tidak mewakili pendapat seluruh rakyat Indonesia, kata jurucakap presiden.

"Mereka tidak mewakili 200 juta penduduk Indonesia," kata Julian Aldrin Pasha kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebaliknya mempersoalkan tujuan demonstrasi itu diadakan, yang mungkin disertai puluhan pertubuhan bukan kerajaan mewakili pekerja, pelajar dan aktivis politik.

"Kalau mahu mengkritik kerajaan, harus kita lihat dulu apa saja item (program kerja 100 hari kerajaan). Masyarakat boleh menilai secara langsung apakah puas atau tidak," katanya.

Presiden Susilo tidak akan berada di pejabatnya di Istana Merdeka ketika demonstrasi itu diadakan esok kerana beliau dijadual merasmikan sebuah stesen janakuasa elektrik di Banten.

"Ini bukan kerana presiden cuba menghindarkan diri, tetapi kerana memang sudah dijadualkan," kata Julian. Beliau berkata, pencapaian para menteri selama 75 hari pemerintahan, rata-rata telah mencecah lebih daripada 80 peratus daripada sasaran yang ditetapkan tetapi untuk pencapaian 100 hari, ia belum dapat disimpulkan.

"Tentu saja untuk penilaian rakyat, kita kembalikan kepada rakyat. Tetapi untuk bidang seperti kesejahteraan rakyat dan perekonomian, masing-masing telah dilaporkan secara terperinci," katanya.

Sebanyak 64 NGO dilaporkan telah meminta izin dari polis untuk mengambil bahagian dalam demostrasi esok.

Meskipun dalam pilihan raya 8 Julai tahun lepas gandingan Susilo-Boediono menang besar dengan memperoleh 60 peratus sokongan, namun mereka terus menerima kritikan mahasiswa dan aktivis sosial dan politik dalam soal membanteras rasuah dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Beberapa badan bancian bebas di Indonesia telah mengeluarkan hasil bancian masing-masing baru-baru ini yang menunjukkan penurunan tingkat kepuasan rakyat terhadap kerajaan dalam 100 hari ini.

Hari ini Lembaga Survei Indonesia (LSI) ketika membentangkan hasil banciannya menyatakan bahawa kepuasan rakyat terhadap Sosilo merosot 15 peratus dari 85 peratus manakala kepuasan rakyat terhadap Boediono kekal pada sekitar 49 peratus dan 51 peratus.

Penurunan kepuasan rakyat itu dipengaruhi oleh kes menyelamat Bank Century oleh kerajaan yang melibatkan perbelanjaan Rp6.7 triliun pada akhir 2008 dan kes jenayah pegawai kanan Suruhanjaya Pembenterasan Rasuah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain