suria

Malaysia Mahu Pikat Pelancong Dari Bandar Sekunder Di Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia akan menumpukan usaha menarik pelancong Jepun dari bandar-bandar sekunder yang selama ini kurang diberi pendedahan mengenai negara ini, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini.

Beliau berkata sebelum ini usaha mempromosikan Malaysia lebih tertumpu kepada bandar-bandar besar seperti Tokyo, Osaka dan Kyoto.

"Kita terlepas banyak peluang daripada segi promosi di bandar-bandar kedua ini dan juga pada kalangan persatuan-persatuan seperti doktor dan pengamal perubatan," katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Pusat Asean-Jepun, Yashikuni Ohnishi di sini.

Ng yang sebelum itu menghadiri Mesyuarat Ke-13 Menteri-Menteri Pelancongan Asean berkata tumpuan pasaran adalah rakyat Jepun yang gemar mengembara tetapi tidak mengetahui bahawa mereka mampu melawat Malaysia.

Disebabkan ketiadaan promosi dan inisiatif pemasaran di bandar-bandar ini mereka tidak tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang murah untuk dilawati, katanya. Ng juga mendedahkan bahawa kedatangan pelancong Jepun ke Malaysia telah merosot sebanyak 8.7 peratus tahun lepas yang mungkin berpunca daripada kemelesetan ekonomi global.

Selain itu, Ng berkata pihaknya juga akan menggiatkan usaha menarik pesara-pesara Jepun untuk menyertai program Malaysia Rumah Keduaku.

Menurut Yashikuni yang turut hadir pada sidang akhbar itu, kebanyakan pesara Jepun gemar memilih negara-negara Asean khususnya Singapura dan Malaysia sebagai 'rumah kedua' mereka.

Mengulas mengenai kunjungan hormatnya ke atas Yashikuni, Ng berkata beliau turut mempelawa Jepun menyertai 'Flora Parade' yang akan diadakan di Putrajaya pada Jun atau Julai ini.

Ng juga menyarankan supaya kedua-dua negara mengadakan daerah berkembar bagi membolehkan lebih ramai pelancong Jepun datang ke Malaysia untuk berkongsi kebudayaan.

Selain Yashikuni, Ng turut membuat kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Pusat Asean-Korea Young Jai Cho, Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Singapura S. Iswaran dan Menteri Sumber-sumber Utama dan Industri Brunei Datuk Seri Awang Yahya Begawan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain