suria

Lawatan Najib Ke Chennai Hargai Rakyat Malaysia Keturunan India

CHENNAI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan bersejarah ke Chennai, berkata ia sebagai menghargai rakyat Malaysia keturunan India kerana majoriti mereka mempunyai hubungan kebudayaan dengan Tamil Nadu, sebuah negeri di India. "Lawatan saya berakhir di Chennai, bukan secara kebetulan tetapi memang dirancang kerana Chennai, Tamil Nadu ialah negeri asal ramai rakyat Malaysia keturunan India. "85 peratus rakyat Malaysia keturunan India adalah daripada etnik Tamil dan lawatan saya untuk mengiktiraf sumbangan rakyat Malaysia keturunan India kepada pembangunan Malaysia," kata Najib yang telah pulang ke tanah air awal pagi tadi untuk menghadiri istiadat pemakaman Sultan Johor Almarhum Iskandar Ibni Sultan Ismail yang telah mangkat di Johor Baharu malam tadi.

Najib memulakan lawatan rasminya yang pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia mulai 19 Januari lepas yang sepatutnya berakhir hari ini.

Berucap pada majlis makan malam sempena lawatan ke Chennai itu, Najib berkata adalah penting untuk mengiktiraf mereka yang telah memberikan sumbangan kepada pembinaan negara tanpa mengira latar belakang etniknya.

"Jadi lawatan ini penting, untuk 52 tahun kita tidak ada (Perdana Menetri Malaysia) melawat Chennai, saya adalah yang pertama melawat," tambah beliau.

Beliau juga memberi jaminan kepada rakyat Malaysia keturunan India bahawa nasibnya akan ditangani dan kerajaan telah dan akan meneruskan dasar-dasar untuk membantu mereka yang memerlukan. "Kita telah dengar seruan, rakyat Malaysia keturunan India ada sedikit ketidakpuasan hati dengan kerajaan Malaysia sebelum ini, tetapi kita akan melakukan lebih banyak untuk masyarakat India," kata beliau.

Perdana Menteri menambah bahawa beliau tidak melawat India untuk mendapatkan kegemilangan tetapi sebaliknya bagi mengadakan hubungan dengan kerajaan India dan rakyat, dan kedatangannya disambut dengan meriah di New Delhi dan Chennai.

Selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin India semasa lawatan empat hari ke India itu, Najib berkata ramai yang teruja cara rakyat Malaysia keturunan India maju di negara angkatnya, dan mereka tidak percaya dengan kempen mencemarkan Malaysia oleh sesetengah kumpulan terhadap kerajaan Malaysia.

Ketua Menteri Tamil Nadu M. Karunanidhi dan malah pemimpin pembangkang parlimen India Sushma Sawraj daripada Parti Nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) berkata mereka tidak percaya cerita buruk disebarkan oleh sesetengah rakyat Malaysia di India.

Beliau menggesa semua kumpulan etnik bekerjasama bagi menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang kompetitif, sebagai negara jiran yang pesat membangun dalam bidang ekonomi. "Tidak kira apa warna kulit anda, apa yang penting ialah apa yang ada dalam jiwa anda, apa yang ada dalam minda anda. "Tidak kira etnik anda, tanah air ialah Malaysia," kata beliau, sebagai mengakhiri lawatannya sebelum berlepas pulang ke Malaysia malam tadi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain