suria

India Lihat Asean Sebagai Elemen Penting Kerangka Ekonomi Asia

NEW DELHI: India melihat Asean sebagai elemen penting bagi kerangka komuniti ekonomi Asia yang akan membantu membawa keamanan dan kemakmuran kepada rantau ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar India S.M. Krishna. Beliau berkata hubungan antara India dan negara-negara Asean telah dipelbagaikan dan diperkukuh ke tahap strategik dengan beberapa negara di rantau itu menerusi pertukaran kunjungan dua hala peringkat tinggi dan interaksi erat di forum serantau dan pelbagai hala.

"India dan Asean juga terlibat dalam membangunkan kerangka serantau yang lebih besar di rantau Asia Pasifik. Forum Serantau Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur menyediakan peluang berguna bagi interaksi yang produktif," katanya dalam ucapan pembukaan beliau di Dialog Delhi-II: Dialog Keselamatan dan Kerjasama Serantau di sini, hari ini.

Dialog dua hari itu yang bertemakan "India and South East Asia in the Changing Regional Economic Dynamics of Asia: Shared Interests and Concerns" dihadiri pakar-pakar, anggota parlimen, wakil perniagaan dan industri kanan dari India dan Asean.

Krishna berkata susulan krisis kewangan dan ekonomi global, penting untuk menjalin kerjasama erat di kalangan negara membangun agar suara efektif dalam kerangka kewangan antarabangsa dan aturan ekonomi global baharu boleh dicapai.

Bercakap kepada pemberita yang menyertai Program Pertukaran Media India-Asean kemudiannya, Krishna melahirkan keyakinan bahawa hubungan perdagangan India-Asean boleh meningkat dengan ketara.

"Saya rasa hubungan ekonomi dan juga politik dengan Asean menjadi semakin kukuh dan rumusan perjanjian perdagangan bebas kami dengan Asean dalam barangan juga boleh diperluaskan kepada perkhidmatan merupakan petunjuk jelas hakikat bahawa hubungan kita semakin mengukuh," katanya.

Sejak awal 1990-an, India telah menjalin hubungan rapat dengan Asia Tenggara dan rantau Pasifik di bawah "Dasar Pandang Ke Timur" negara itu.

India percaya dengan mengembangkan dialog dan kerjasamanya akan memberi sumbangan besar kepada usaha pembangunan sosio ekonomi rakyatnya.

Krishna berkata India mahu berkongsi pengalaman pembangunannya dengan negara-negara sahabat dan terlibat dalam program kerjasama pembangunan dengan negara-negara Asean dan dalam "Inisiatif bagi Program Integrasi Asean."

"Kami telah memberikan penekanan khusus kepada pembangunan sumber manusia menerusi latihan, biasiswa, penubuhan pusat pembangunan keusahawanan dan pusat latihan bahasa.

"Dana S&T Asean-India, yang telah beroperasi, akan menggalakkan projek penyelidikan bersama dalam sains dan teknologi," katanya.

Beliau juga berkata perdagangan India-Asean berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan Perjanjian Perdagangan dalam Barangan India-Asean yang berkuat kuasa pada 1 Jan, 2010, telah membuka kemungkinan baharu bagi pengembangan perdagangan India dengan rantau itu.

Selain FTA India-Asean dengan beberapa negara di rantau itu, FTA dua hala dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif telah dirumus atau sedang dirundingkan dengan beberapa negara Asean, termasuk Indonesia, Malaysia dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain