suria

Pemimpin-Pemimpin Singapura Puji Almarhum Sultan Iskandar

SINGAPURA: Presiden Singapura S.R. Nathan berkata Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan seorang Raja yang bijak dan patriot Malaysia.

Beliau berkata sifat mesra dan hubungan Almarhum Sultan Iskandar dengan Singapura dan pemimpinnya telah membantu mempromosi kestabilan, keselamatan dan pertumbuhan bagi kedua-dua Johor dan Singapura serta Malaysia dan rakyatnya.

Dalam perutusan takziah di atas kemangkatan Sultan Iskandar kepada Sultan Ibrahim Ismail, anakanda Almarhum yang tekah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru hari ini, Nathan berkata persahabatan Almarhum ayahandanya yang lama terjalin mambantu merapat dan memupuk hubungan baik dengan pemimpin Singapura dan rakyatnya dan akan sentiasa diingati.

Presiden itu berkata Almarhum Sultan Iskandar dikenali kerana keprihatinan dan naungan Baginda kepada rakyatnya di Johor dan di Malaysia pada keseluruhannya.

Dalam perutusan takziah beliau kepada Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tunku Ahmad, Nathan berkata naungan Almarhum Sultan Iskandar dalam banyak pertubuhan sukarela di Malaysia dan bakti Baginda telah menempatkan Baginda dalam sejarah Johor dan Malaysia.

"Galakan, sumbangan dan kecintaan untuk rakyat dan negara, Baginda akan sentiasa diingati," kata Nathan.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga mengutus perutusan takziah kepada Sultanah Zanariah sambil mengatakan semasa pemerintahan Baginda, Almarhum Sultan Iskandar memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kemakmuran Johor untuk manfaat rakyatnya.

Beliau berkata bakti Almarhum Sultan Iskandar kepada rakyat Johor dipaparkan melalui kecintaan dan hormat mereka dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, telah melaksanakan tanggungjawab Diraja dalam semangat yang sama.

Lee berkata Almarhum Sultan Iskandar juga memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan baik antara Singapura dan Malaysia. "Saya dan isteri saya secara peribadi masih ingat dengan baiknya, banyak kali kami diberikan sambutan baik dan mesra di Istana Bukit Serene (istana bersemayam Sultan Johor)," kata Lee.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Iskandar telah berangkat ke republik itu pada 1988, dan kunjungan terakhir Baginda ke Singapura ialah pada April, 2007 apabila Baginda dikurniakan dengan Ijazah Kehormat daripada National University of Singapore sebagai mengiktiraf sumbangan Baginda dalam hubungan dua hala.

Kepada Sultan Ibrahim Ismail, kata Lee di bawah bimbingan dan perhatian ayahanda Baginda, ekonomi Johor membangun dengan pesatnya yang membawa kemakmuran dalam kehidupan rakyatnya.

Lee berkata dedikasi dan wawasan Almarhum Sultan Iskandar membolehkan Johor menjadi negeri yang maju seperti hari ini.

Perdana Menteri itu juga berkata Almarhum Sultan Iskandar juga menjalin persahabatan baik dengan Singapura. "Beliau percaya bahawa Johor dan Singapura, kedua-dua pihak akan memperoleh hubungan kukuh dan kerjasama rapat," tambah beliau.

Lee berkata Singapura menilai usaha Almarhum Sultan Iskandar untuk memperbaiki hubungan dua hala dan Baginda akan sentiasa diingati dengan penuh kasih sayang sebagai sahabat Singapura. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain