suria

Keadilan Dalam Kes Meroboh Masjid Babri Belum Tercapai Selepas 17 Tahun

NEW DELHI: Majlis memperingati ulang tahun ke-17 perbuatan merobohkan Masjid Babri disambut dengan perasaan kesal dan sugul oleh masyarakat Islam hari ini, manakala kawalan keselamatan dipertingkatkan di semua bandar utama di India.

Kumpulan agama mengadakan solat dan doa khas bagi memperingati peristiwa menyedihkan itu yang berlaku pada 6 Dis 1992 hari yang menjadi titik hitam dalam lembaran demokrasi di India.

"Peristiwa itu hanya memburukkan lagi perpecahan antara penganut Islam dan Hindu di negara ini. Banyak penganut Hindu dan Islam yang tidak bersalah menderita akibat perbuatan merobohkan masjid itu.

"Tidak perlu ada lagi penganut Hindu atau Islam yang menerima padahnya di negara ini," kata presiden sebuah pergerakan Islam terkenal Jama Masjid United Forum (JMUF) Syed Yahya Bukhari kepada Bernama hari ini.

Masjid berkenaan, yang terletak di Ayodhya, Uttar Pradesh negeri yang mempunyai hampir 40 juta penduduk Islam dimusnahkan oleh para aktivis politik sayap kanan Hindu dalam satu tunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan tegar beragama Hindu daripada Bharatiya Janata Party (BJP), Vishwa Hindu Parishad Party (VHP)dan Shiva Sena dilaporkan terlibat dalam perbuatan merobohkan masjid yang dibina pada abad ke16 itu.

Perbuatan itu mencetuskan rusuhan antara penganut Islam dan Hindu di bandar-bandar utama India, yang meragut hampir 2,000 nyawa.

Peristiwa Ayodhya itu terus menjadi isu sensitif bagi penganut dua agama berkenaan di India, negara yang mempunyai hampir 150 juta umat Islam.

Kerajaan India yang diterajui parti Kongres kemudian menubuhkan satu panel bagi menyiasat peristiwa itu dan 17 tahun kemudian, laporan Liberhan yang penuh kontroversi, dibentangkan di Parlimen akhir bulan lepas.

"Tujuh belas tahun sudah berlalu, tapi Masjid Babri belum mendapat keadilan yang sepatutnya," kata Syed Yahya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain