suria

Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Dalam Kebakaran Karaoke Medan

JAKARTA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat hiburan karaoke dan disko M-City di Medan, Sumatera Utara yang mengorbankan 20 nyawa malam Jumaat.

Jurucakap polis di Kedutaan Besar Malaysia di sini berkata sehingga tengah hari ini, daripada senarai nama 11 lelaki dan sembilan wanita yang mati dalam kejadian itu, tiada satupun merupakan rakyat Malaysia.

"Daripada maklumat yang kita kumpulkan setakat tengah hari ini, menunjukkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat. Polis Medan juga sudah pun menyelesaikan proses mencari mangsa di pusat hiburan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Maklumat yang diperoleh dari Medan menyatakan bahawa memang terdapat beberapa kumpulan rakyat Malaysia termasuk penggemar golf sedang berada di ibu kota wilayah Sumatera Utara itu, dan menginap di sebuah hotel berdekat pusat hiburan itu.

Medan, yang jarak penerbangannya dari Kuala Lumpur hanya 45 minit merupakan antara destinasi hujung minggu popular bagi sebahagian rakyat Malaysia, selain turut menampung ratusan pelajar perubatan dari Malaysia.

"Setakat ini kita juga belum lagi menerima aduan daripada rakyat Malaysia mengenai saudara mara atau anggota keluarga yang tidak dapat dikesan ketika berada di Medan," kata jurucakap itu, yang menambah bahawa polis bagaimanapun akan terus mengumpulkan maklumat.

Ketua Polis Kota Medan Imam Margono juga dipetik media massa tempatan sebagai berkata bahawa setakat ini, daripada mayat yang sudah dikenalpasti identitinya, tiada seorang pun merupakan warga negara asing.

Media massa tempatan tempatan melaporkan bahawa antara mangsa yang mati dalam kebakaran yang dikatakan bermula pukul 8.30 malam dan berlanjutan sehingga tengah malam tadi ialah empat orang pembantu dan pengawal gabenor Sumatera Utara.

Menurut media tempatan, laporan awal punca kebakaran dikatakan puntung rokong yang dibuang oleh para pekerja yang sedang mengubahsuai ruangan di pusat hiburan itu, yang kemudiannya menyambar api setelah tercampak ke dalam bekas 'thinner'.

Kebakaran dikatakan bermula di tingkat tiga yang menempatkan bilik-bilik karaoke di bangunan itu, yang sebelum ini merupakan pusat membeli belah tetapi diubahsuai menjadi pusat hiburan mewah. BERNAMA

Artikel Lain