suria

Raja Thailand Sambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-82

BANGKOK: Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, raja paling lama menduduki takhta di dunia, menyambut hari ulang tahun ke-82 keputeraan baginda hari ini.

Raja kesembilan dalam Dinasti Chakri itu, yang menaiki takhta pada 1946, muncul di khalayak ramai bagi kali ketiga hari ini sejak baginda dimasukkan ke Hospital Siriraj pada 19 September bagi menerima rawatan radang paru-paru.

Berjuta-juta rakyat Thailand memakai pakaian berwarna merah jambu bagi mencerminkan harapan mereka baginda sentiasa sihat, manakala beratus ribu pula membanjiri jalan raya dengan harapan dapat menatap wajah raja kesayangan mereka itu apabila rombongan kenderaan yang membawa baginda bergerak dari hospital berkenaan ke Istana Besar.

Raja Bhumibol berkenan menerima menghadap anggota keluarga diraja, anggota kabinet, anggota Parlimen dan pegawai tinggi kerajaan di Balai Menghadap Amarin Winitchai, satu-satunya upacara yang baginda hadiri sepanjang sambutan selama seminggu itu.

Bagi tahun kedua berturut-turut, Raja Bhumibol, yang telah menduduki takhta selama 63 tahun, tidak menyampaikan titah sempena sambutan tahunan itu atas sebab kesihatan. Walaupun baginda adalah raja berperlembagaan yang tidak mempunyai peranan rasmi dalam politik, namun banyak pihak menganggap baginda adalah tokoh paling berpengaruh di Thailand yang mampu menyatukan rakyat negara ini, dan memiliki pelbagai kecenderungan politik serta kepentingan.

Sempena sambutan ini, potret baginda digantung di merata tempat dan hiasan serta lampu berwarna-warni dipasang menerangi jalan-jalan raya di bandar raya ini.

Dalam tempoh menduduki takhta sejak lebih enam dekad lepas, baginda memperkenalkan pelbagai program, termasuk ekonomi berkonsepkan sara diri dan lebih 3,000 projek diraja bagi memperbaiki kehidupan rakyat, khususnya di luar bandar.

Raja Bhumibol juga menjadikan tempat bersemayam baginda di Istana Chitralada sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian, yang dipercayai satusatunya istana di dunia yang di kelilingi sawah, ladang ternakan, dusun, ladang sayursayuran dan kolam akuakultur. -BERNAMA

Artikel Lain