suria

Jemaah Beraya Sempurnakan Ibadah Haji Walau Derita Sakit

MEKAH: Doa bekas pengarang Berita Harian, Karim Sulaiman, yang menderita kerana menghidapi "ScleroMyxedema", sejenis penyakit yang menyebabkan kulit menjadi tebal dan mengeras, untuk menyempurnakan haji termakbul apabila beliau dapat melakukan ibadah itu dengan sempurna.

Keadaan kesihatan yang membataskan pergerakan beliau, sedikitpun tidak melumpuhkan semangatnya untuk melaksanakan perkara rukun dalam ibadah haji seperti wukuf di Arafah, tawaf dan saei dan tahalul serta perkara wajib seperti melontar di Jamrah.

Segalagalanya terlaksana berkat pertolongan isteri, Siti Hawa Mohd Arif dan anak kelima mereka Khair Naqib, 13, yang turut serta menunaikan haji.

Ketika ditemui petugas media Tabung Haji, Siti Hawa mengakui bahawa kelonggaran dalam hukum Islam terhadap orang yang tidak berupaya mengerjakan ibadah haji telah banyak memberi manfaatkan kepada golongan itu termasuk suaminya.

"Untuk mengerjakan tawaf kami tolak abang Karim yang duduk di atas kerusi roda di tingkat dua Masjidil Haram yang memang tersedia trek untuk jemaah yang berkerusi roda untuk mengerjakan tawaf dan begitu juga ketika mengerjakan saei di mana memang ada trek kerusi roda disediakan antara Safa dan Marwah," katanya.

Bagaimanapun, ketika melontar di Jamrat, Karim tidak mampu melontar ke dinding jamrat dan terpaksa mewakilkan kepada anaknya untuk melakukan lontaran.

Siti Hawa berkata sungguhpun pada mulanya beliau risau dengan tahap kesihatan suaminya terutama ketika wukuf di Arafah dan bermalam di Mina di khemah ekoran cuaca yang agak panas di tanah suci, namun beliau bersyukur kerana segalagalanya berjalan dengan baik.

Beliau berkata Khair Naqib banyak membantu menguruskan bapanya ketika di tanah suci kerana peraturan menetapkan jemaah haji lelaki dan wanita perlu tinggal berasingan sepanjang berada di tanah suci.

Ditanya tentang doanya ketika berada di hadapan Kaabah, dengan nada yang sebak Siti Hawa berkata tiada lain yang beliau doakan selain memohon kepada Allah supaya penyakit yang dideritai suaminya segera sembuh.

Sementara itu, Karim dengan nada perlahan dan suara yang tersekatsekat berkata beliau berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan penyakitnya dan berkata "berdasarkan pengalaman ini, dapat saya katakan kepada yang lain sementara tubuh badan masih sihat dan kemampuan, sudah ada tanamkan niat menyahut seruan Allah."

Karim dan keluarga dijangka kembali ke tanah air pada 27 Disember ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain