suria

Penjadualan Semula Cuma Libatkan Tujuh Penerbangan Awal Jemaah Haji

MEKAH: Penjadualan semula penerbangan pesawat sewa khas Tabung Haji bagi membawa pulang jemaah haji ke tanah air cuma melibatkan tujuh penerbangan awal dari 2 hingga 10 Disember, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom hari ini.

Beliau berkata pihak Tabung Haji sebelum ini sudah membuat tempahan awal bagi membawa pulang kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia bermula 2 Disember hingga 2 Januari ini, namun pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah meminta supaya dilakukan penjadualan semula.

Katanya pihak berkuasa berkenaan meminta supaya dibuat penjadualan semula dalam usaha mengelak kesesakan di lapangan terbang itu yang sedang menjalani proses menaik taraf.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu pihak berkuasa lapangan terbang hanya membenarkan empat pesawat sewa khas membuat penerbangan dalam sehari iaitu masing-masing dua Penerbangan Malaysia (Mas) dan Saudi Airlines untuk membawa pulang jemaah haji ke tanah air.

Katanya penjadualan semula itu akan membabitkan 2,800 jemaah haji dan mereka yang terlibat sudahpun dimaklumkan mengenainya dan mereka menerimanya dengan positif.

"Malahan ada yang menyatakan rasa syukur kerana diizinkan oleh Allah untuk menjadi tetamunya untuk tempoh lebih lama di sini," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.

Jamil Khir berkata pihak Tabung Haji telahpun memaklumkan kaum keluarga jemaah haji terbabit mengenai jadual baru itu dan berharap mereka juga akan menerimanya secara positif sepertimana jemaah haji berkenaan.

Mengenai kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh Tabung Haji ekoran penjadualan semula itu, Jamil Khir berkata sebenarnya ia tidak melibatkan kos tambahan yang ketara kerana ia hanya membabitkan pembiayaan makan minum jemaah haji terbabit sahaja.

"Ia tidak melibatkan tambahan kos dari segi sewa tempat penginapan kerana Tabung Haji memajak bangunan yang dijadikan tempat penginapan jemaah haji di Mekah untuk jangka masa yang panjang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain