suria

Komanwel Terima Keanggotaan Rwanda

PORT OF SPAIN: Ketua-ketua kerajaan negara anggota Komanwel yang berhimpun untuk menghadiri mesyuarat dwi-tahunan perkumpulan itu di sini bersetuju menerima permohonan kemasukan Rwanda ke dalam Komanwel.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka bersetuju menerima permohonan keanggotaan Komanwel Rwanda selepas memastikan negara itu telah memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.

"Ia telah diransang dengan komitmen negara itu ke arah demokrasi serta nilainilai yang didukung oleh Komanwel," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir hari kedua Mesyuarat Ketuaketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di sini pada Sabtu.

CHOGM 2009 yang berlangsung tiga hari itu dirasmikan Ratu England, Ratu Elizabeth II pada Jumaat.

Negara yang dilingkungi daratan, Rwanda, yang punah akibat pembunuhan kaum pada tahun 1990an, menyatakan hasrat berminat menyertai Komanwel pada Januari 2008.

"Para pemimpin Komanwel mengambil kira proses pemulihan berterusan yang dilakukan Rwanda. Mereka berpendapat adalah wajar bagi menerima permohonan Rwanda ke dalam perkumpulan negara-negara Komanwel," kata Najib.

Kemasukan terakhir adalah pada 1995 dengan dua negara Cameroon dan Mozambique menyertai Komanwel. Hanya sebahagian daripada Cameroon pernah dijajah oleh British manakala Mozambique tidak pernah ditakluk pemerintahan British.

Najib berkata para pemimpin Komanwel juga bersetuju Australia menjadi tuan rumah persidangan CHOGM 2011 manakala bagi mesyuarat pada 2013 dan 2015 masing-masing akan diadakan di Sri Lanka dan Mauritius. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain