suria

Ibadah Melontar Di Jamrat Berjalan Lancar

MEKAH:Ibadah melontar di Jamrat pada hari pertama, Jumaat, berjalan lancar dengan lebih 2.5 juta jemaah haji berjaya mengerjakannya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pembinaan jambatan Jamrat setinggi lima tingkat yang berharga SR4.6 bilion dalam usaha melegakan kesesakan di kawasan itu banyak membantu jemaah haji dalam mengerjakan ibadah itu dengan lebih selesa.

Dengan kalimah "Allahuakbar" ratarata jemaah menyempurnakan ibadah melontar di Jamrat Al-Aqaba di Mina.

"Kami bersyukur kepada Allah Maha Besar hari pertama berlalu dengan lancar dan pihak keselamatan kami berjaya memastikan tidak berlaku sebarang kesesakan di manamana tempat di jambatan Jamrat," menurut jurucakap pegawai tentera Khalid Al-Zahrani yang dipetik akhbar berbahasa Inggeris Arab News.

Pihak keselamatan mulai memantau pergerakan jemaah haji ke kawasan melontar sejurus selepas menamatkan ibadah korban.

Sementara itu Penjaga Dua Masjid Suci Raja Abdullah dalam ucapan umumnya di hadapan putera-putera raja, cendekiawan, tetamu dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, menteri-menteri kabinet dan komander dari pelbagai badan keselamatan, menyuarakan penghargaan kepada semua yang berjaya menampilkan ibadah haji yang lancar tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Jen Mansour Al-Turki pula dalam satu persidangan berita di Mina berkata pihaknya tida menerima maklumat mengenai sebarang insiden yang membabitkan mana-mana kumpulan ekstremis.

Beliau berkata ibadah haji berjalan dengan lancar, kecuali beberapa kesalahan yang berkaitan pelanggaran peraturan mengenai tempat penginapan. BERNAMA

Artikel Lain