suria

Penggubal Undang-Undang Asia Mahu Kuasa Serantau Tamatkan Penderitaan Di Myanmar

NEW DELHI: Sekumpulan penggubal undang-undang Asia mengkritik Asean dan rakan dialognya India kerana tidak berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan penderitaan penduduk Myanmar satu-satunya negara di Asia Tenggara yang diperintah tentera.

Kaukus Myanmar Antara Parlimen Asean (AIPMC) mahu Asean dan India supaya melaksanakan peranan konstruktif bagi memulihkan semula demokrasi di Myanmar dengan mengadakan dialog politik tulen membabitkan semua parti di negara berkenaan.

"Keadaan sebaliknya menjadi semakin buruk di Burma (Myanmar), terdapat lebih ramai penduduk yang melarikan diri dari Burma," kata Charles Chong, Anggota Parlimen dari Singapura dan Naib Pengerusi AIPMC.

"Asean tidak dapat melakukannya bersendirian kerana jeneral tentera telah menyatakan dengan jelas bahawa sekatan barat tidak memberi kesan selagi dua negara berjiran terbesar iaitu India dan China meneruskan perniagaan yang besar (dengan Myanmar)," katanya.

Chong berkata Asean telah cuba mempengaruhi pemimpin tentera sejak 10 tahun lepas tetapi usaha itu menjadi sia-sia memandangkan mereka gagal meyakinkan junta supaya memulihkan demokrasi dan memperkenalkan undang-undang sivil dengan mengadakan pilihan raya.

Penggubal undang-undang di seluruh Asia Selatan dan Asia Tenggara memperdebatkan peranan kuasa serantau dalam "Kesetiakawanan Parlimen untuk Perjuangan Demokrasi di Myanmar" di Delhi minggu lepas.

Sharad Joshi, pengerusi Forum Parlimen India bagi Demokrasi di Burma menggesa pemimpin serantau, terutamanya dari Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) yang dianggotai lapan negara bagi mendesak rejim tentera supaya membebaskan semua tahanan politik.

"Asean dan negara SAARC perlu berganding bahu untuk membebaskan segera semua tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi dan memulihkan semula demokrasi di Burma," katanya.

Suu Kyi, pemimpin prodemokrasi berusia 64 tahun, meluangkan hampir 14 tahun sejak 20 tahun lepas dengan menjalani tahanan rumah.

Anggota Parlimen berkenaan mahu Myanmar mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas tahun depan, menghentikan serangan ke atas kumpulan etnik dan menyemak semula perlembagaan 2008 sebelum pilihan raya diadakan pada 2010. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain