suria

Arafah Kini Dibanjiri 2.5 Juta Jemaah Haji

MEKAH: Arafah mula dibanjiri 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk 29,000 dari Malaysia untuk ibadah wukuf.

Hujan lebat yang turun petang semalam di Mekah termasuk di Arafah menyebabkan khemah penginapan jemaah basah teruk dan ada yang diterbangkan angin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata keadaan itu memaksa Tabung Haji menangguhkan seketika usaha menghantar sebahagian jemaah haji ke Arafah kerana khemah yang disediakan bagi mereka tidak boleh diduduki.

"Bagaimanapun pihak muasasah telah mengambil langkah perlu dan semua jemaah haji Malaysia telahpun selamat tiba di Arafah pagi ini apabila cuaca kembali panas," katanya kepada petugas media Tabung Haji selepas melawat khemah jemaah haji Malaysia di Arafah.

Jamil Khir berkata sungguhpun keadaan dalam khemah tidak begitu selesa, namun kebanyakan jemaah haji menerima keadaan itu sebagai satu rahmat memandangkan jarang sekali hujan turun di Arab Saudi terutamanya di Arafah.

"Sungguhpun terpaksa berada dalam keadaan basah dan kurang selesa, namun ini tidak menghalang jemaah haji Malaysia untuk menumpukan perhatian terhadap ibadah masing-masing.

"Ratarata mereka menyatakan rasa puas hati dengan khemah penginapan serta makanan yang disediakan oleh pihak muasasah," katanya.

Berkeluasan 10.4 km per segi, Arafah yang terletak 21.9 km dari wukuf Mekah merupakan kemuncak ibadah haji apabila jemaah berhimpun dalam ribuan khemah berwarna putih yang disediakan oleh pihak muasasah atau pengendali jemaah haji. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain