KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum Uzbekistan akan diadakan pada 27 Disember ini, kata dutanya ke Malaysia Shukur Sabitov.
Katanya Uzbekistan telah melalui beberapa perubahan sejak 2008 seperti pertambahan kerusi dalam Majlis Perundangan negara itu daripada 120 kerusi kepada 150 kerusi sekarang.
"Daripada 150 kerusi itu, 135 kerusi adalah diberikan kepada wakilwakil partiparti politik yang dipilih, sama rata dan hak dipilih secara langsung melalui satu undian rahsia dalam satu teritorial kawasan pilihan raya berdasarkan parti berbilang," katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat meja bulat dan majlis makan malam sempena Pilihanraya Parlimen Uzbekistan di sini malam tadi.
Katanya baki, 15 kerusi lagi bersesuaian dengan pentadbiran dan pembahagian wilayah negara yang diberikan kepada wakil terpilih daripada gerakan ekologi di Uzbekistan, katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya negara telah membenarkan empat parti bertanding dalam pilihanraya itu iaitu People's Democratic Party, Adolat Social Democratic Party, Liberal Democratic Party dan the Milliy Tiklanish Democratic Party, katanya. Uzbekistan yang berkeluasan 447,400 km persegi, dikelilingi negara-negara seperti Afghanistan, Kyrgystan, Tajikistan dan Turkmenistan dan mempunyai kira-kira 27 juta penduduk, antara 78 hingga 80 peratus terdiri daripada penduduk beragama Islam, dalam negara yang baru 18 tahun merdeka.
Etnik terbesar ialah kumpulan etnik Uzbek iaitu 80 peratus diikuti etnik Rusia, Tajik, Kazakh, Karakalpak, Tatar dan lain-lain. BERNAMA


