suria

Hebahkan Kisah Malaysia Kepada Pelabur Dunia - Najib

NEW YORK: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mesej mengenai reformasi dan transformasi Malaysia perlu dihebahkan kepada pelabur asing secara konsisten, atau berhadapan risiko dibayangi negara lain seperti China dan ekonomi membangun lain.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga perlu memperkenalkan langkah-langkah berikutnya untuk menjadikan pasaran modalnya lebih menarik kepada para pengurus dana asing jika ia tidak mahu dipinggirkan oleh mereka.

Susulan siri pertemuan dengan para pengurus dana dan pelabur Amerika selain tokoh korporat lain di sini pada Isnin, Najib berkata: "Saya berpendapat mereka sukakan kisah Malaysia, namun mereka mahu kita meneruskan langkah-langkah reformasi kerana menurut mereka, hasilnya sangat penting.

Bercakap kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke New York, Najib berkata mereka juga reseptif terhadap cadangan menyenaraikan semula firma telekomunikasi, Maxis.

"Mereka berkata ia merupakan langkah yang tepat kerana ia akan memberi peluang yang lebih besar untuk melabur dalam syarikat yang lebih besar memandangkan ada di kalangan mereka mengurus dana melebihi trilion dollar," kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata pelabur dan syarikat pembiayaan Amerika menyatakan mengenai kurangnya syarikat yang sesuai untuk mereka membuat pelaburan.

"Mereka mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia yang mempunyai modal besar. Mereka tidak berminat terhadap syarikat kecil. Oleh itu, saiz dari segi pemodalan pasaran sangat penting untuk mereka. Mereka mahu melihat lebih banyak syarikat seperti Maxis," kata Najib.

Menurut Najib, mereka menyatakan bahawa prospektif syarikat Malaysia juga wajar mematuhi prinsip-prinsip tadbir urus yang baik.

"Selain itu, mereka juga mahu entiti seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Khazanah (Nasional Bhd) dan PNB (Permodalan Nasional Bhd) mengurangkan sedikit pemegangan masing-masing dalam syarikat supaya sahamsahamnya dibuka kepada pasaran terbuka," katanya.

Najib berkata beliau akan mengemukakan semua cadangan dan maklum balas yang dikumpulnya di New York kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara untuk perbincangan lanjut dan membuat keputusan.

"Kami perlu mengkaji semua cadangan ini, termasuk syarikat senaraian tertentu," kata Najib yang melawat Amerika Syarikat buat kali pertama selaku Perdana Menteri.

Najib berkata kerajaan perlu membaca segala isyarat yang datang dari New York dengan betul dan bertindak sewajarnya bagi menjadikan pasaran modal Malaysia lebih menarik.

"Malaysia bukan lagi "kesayangan" pasaran modal dunia. Oleh itu kita perlu menjadikan Malaysia lebih menarik dengan melibatkan mereka, dan bertanyakan mereka apa yang perlu kita lakukan. Dan, kita akan memutuskan sama ada ia boleh dilakukan," katanya.

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata Kerajaan akan berusaha lebih keras untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), termasuk dari Amerika Syarikat.

"Saya tidak berpuas hati kerana keseluruhannya FDI menurun. Kita perlukan apa sahaja yang boleh menyokong FDI selain pelaburan domestik," katanya.

Najib sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, Ketua Pegawai Eksektuif (CEO) Chelsea Property Group, John Klein, CEO CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak dan Presiden Forbes Inc, Steve Forbes. Perdana Menteri berkata pusat keluaran kilang di Iskandar Malaysia, usaha sama antara Genting dan Chelsea Property Group, dijangka siap pada pertengahan 2011, dengan pembinaan dijadual bermula pada suku pertama tahun depan.

Ia bermatlamat menarik empat juta pengunjung setahun.

"Saya gembira kerana pusat itu ditempatkan di Malaysia. Selain menggalakkan pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana Malaysia akan berpeluang melibatkan diri," katanya dan menambah, produk tempatan seperti batik mungkin diketengahkan bersama jenama antarabangsa.

Najib juga berkata beliau dijemput menghadiri sidang kemuncak keselamatan nuklear di Amerika Syarikat April depan dan menyampaikan syarahan di Harvard Business School.

Mengenai pertemuannya dengan penerbit majalah Forbes, Perdana Menteri berkata Forbes mencadangkan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan CEO Forbes Global pada 2011.

"Saya bersetuju pada dasarnya yang kita boleh terima jemputan untuk Malaysia menjadi hos persidangan itu sekali lagi," kata Najib yang menambah, Forbes berpuas hati terhadap persidangan yang dianjurkan Malaysia pada September.

Edisi 2010 akan diadakan di Australia. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya berlepas ke Washington dalam perjalanan ke Trinidad and Tobago, untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain