suria

Bekas Perdana Menteri Thailand Meninggal Dunia

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand Samak Sundaravej, salah seorang ahli politik yang pernah mendapat perhatian ramai apabila kehilangan jawatannya itu akibat keghairahannya terhadap bidang masakan, meninggal dunia hari ini.

Perdana Menteri Thailand ke-25 yang berumur 74 tahun itu meninggal dunia di Hospital Bumrungrad pagi ini selepas menerima rawatan akibat penyakit barah hati sejak beberapa bulan lepas.

Bekas gabenor Bangkok dan chef terkemuka yang memiliki rancangan TV sendiri itu juga pernah menjadi menteri kabinet pada 1970an, dan mulai meniti ke puncak kejayaan pada tahun 2007 apabila bersetuju menjadi pemimpin parti People's Power Party (PPP). PPP ditubuhkan oleh penyokong Thaksin Shinawatra, perdana menteri yang ditumbangkan, selepas parti mereka dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana penipuan pilihan raya.

Samak yang dituduh proksi Thaksin, perdana menteri yang ditumbangkan oleh rampasan kuasa tentera pada September 2006, menerajui PPP sehingga memenangi pilihan raya pada Disember 2007 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun perlantikan beliau ke jawatan Perdana Menteri mendapat bantahan daripada kumpulan antiThaksin, terutama anggota People's Alliance for Democracy (PAD) yang dikenali sebagai kumpulan berbaju kuning yang menganjurkan beberapa perhimpunan jalanan secara besarbesaran.

Pada 2008, PAD menawan bangunan pentadbiran kerajaan, memaksa Samak beroperasi dari ibupejabat tentera.

Bagaimanapun tempoh pentadbiran beliau ditamatkan oleh Mahkamah Perlembagaan apabila mahkamah itu memutuskan bahawa tindakan beliau meneruskan rancangan memasak di televisyen sebagai mencabuli perlembagaan, sekaligus menyebabkan beliau tersingkir dari jawatan itu.

Abang ipar Thaksin, Somchai Wongsawat kemudiannya menggantikan Samak sebagai Perdana Menteri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain