suria

1Malaysia Turut Popular Dikalangan Diplomat Asing

KUALA LUMPUR: Idea gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat tempatan malah turut menjadi popular dengan diplomat asing.

Bagi Duta Uzbekistan ke Malaysia, Shukur Sabitov, pula, beliau menanggap negaranya yang mempunyai 27 juta orang penduduk dengan 100 etnik kaum boleh mencontohi gagasan tersebut.

"Idea ini amat baik bagi kita kerana ada persamaan antara Malaysia, dengan penduduk pelbagai kaum, dan Uzbekistan," katanya kepada Bernama baru-baru ini selepas persidangan meja bulat menjelang pemilihan Parlimen Uzbekistan.

Sabitov, yang memegang jawatan itu kirakira enam bulan lalu, berkata konsep 1Malaysia menggalakkan perpaduan kaum dan mengajak rakyat hidup secara harmoni bagi membangunkan negara.

"Hidup dengan damai adalah salah satu cara untuk membangunkan negara. Saya difahamkan di Malaysia ada banyak kaum, Melayu, Cina, India dan lainlain yang tinggal bersama secara aman untuk membangunkan negara. Kita perlu bersatu untuk membangunkan negara dan bagi kami ini adalah amat penting," katanya.

Katanya Uzbekistan, sebagai negara muda, yang mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union 18 tahun lalu, telah melihat dan mengkaji negara-negara lain bagi mencari model yang boleh diteladani.

Dalam aspek ini, katanya, Uzbekistan boleh mempelajari banyak perkara daripada Malaysia, yang mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu, berikutan wujud banyak persamaan antara kedua-dua negara itu.

"Walaupun Uzbekistan dihitung sebagai negara muda namum ia kaya dengan sejarah dengan banyak bandar raya bersejarah seperti ibu negara Tashkent, Samarkhand dan Bukhara," katanya.

Menurutnya warga Malaysia suka melawat bandar raya tersebut yang terkenal dengan warisan Islam dan 85 peratus penduduk Uzbekistan adalah beragama Islam.

Sabitov, bagaimanapun, berasa sedihn kerana ramai rakyat Malaysia masih belum mengenali negaranya secara dekat.

"Kami mempunyai potensi besar dalam bidang ekonomi, pelancongan, sukan dan kebudayaan.

"Bagi membolehkan lebih ramai orang mengenali Uzbekistan, kami telah telah menjemput pemerhati dari Malaysia bagi pilihan raya Uzbekistan akan datang," katanya.

Uzbekistan, sebuah negara berkeluasan 447,400 kilometer persegi dan dikelilingi oleh Afghanistan, Kazakhstan, Kyrgzstan, Takjikistan dan Turkmenistan, akan mengadakan pilihan raya pada 27 Dis ini dengan empat parti politik bertanding bagi memilih 150 calon.

Parti berkenaan ialah Parti Demokratik Rakyat, Adolat (Keadilan) Parti Demokratik Sosial, Parti Demokratik Liberal (Pergerakan Usahawan dan Peniaga) dan Milliy Tiklanish (Pemulihan Nasional) Parti Demokratik.

Menyentuh hubungan dua hala, Sabitov berkata ianya sentiasa baik dan ia boleh dicerminkan menerusi pertukaran lawatan peringkat tinggi antara keduadua negara sejak hubungan diplomatik diasaskan pada 1992.

Katanya Presiden Uzbekistan Islam Karimov telah dua kali melawat Malaysia pada 1992 dan 2005 manakala Tuanku Syed Sirajuddin Syed Jamalullail melawat Uzbekistan pada 2003 ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta misi perdagangan termasuk delegasi dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut melawat negara itu. BERNAMA

Artikel Lain