suria

Tiga Sekeluarga Mati Ditembak Di Selatan Thai

BANGKOK: Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka mati ditembak ketika sedang makan malam oleh puak disyaki pemberontak manakala empat orang cedera dalam serangan bom di wilayah Selatan Thai yang bergolak.

Dalam kejadian pertama di Kampung Tebak dalam daerah Tungyangdeang di Pattani, beberapa lelaki bersenjata memasuki rumah milik lelaki yang hanya dikenali sebagai Abdulllah, 45, dan menembaknya sehingga mati bersekali dengan isterinya Hah Sahak, 40, dan anak lelaki mereka Abdullaateh, 18, malam semalam.

Di daerah Muang di Pattani, puak disyaki pemberontak meledakkan sebutir bom yang disembunyikan dalam sebuah motosikal yang diparkir berdekatan sebuah gerai menjual babi, mencederakan dua wanita dan dua anggota tentera pada Jumaat pagi.

Jurucakap polis berkata bom itu diletupkan menggunakan telefon bimbit dan disasarkan kepada anggota tentera yang datang membeli sarapan pagi di pasar.

Sementara itu, sebuah puak pemisah menyambut baik rancangan Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan ke Narathiwat pada Rabu depan. Naib Presiden Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) Kasturi Mahkota berkata mereka berharap pertemuan bersejarah itu akan mewujudkan suasana lebih kondusif untuk meneruskan dialog antara kerajaan Thai dan puak pemisah.

Beliau berkata Pulo berasa terdorong berikutan kenyataan Abhisit baru-baru ini berhubung penyelesaian terkini konflik berkenaan, sambil menambah kebenaran yang diberikan kepada penduduk Pattani memilih wakil mereka sendiri untuk mentadbir wilayah selatan akan merintis laluan ke arah itu.

"Ini akan menyediakan asas yang baik bagi satu perjanjian akan membawa kepada peletakan senjata dan keamanan berpanjangan di wilayah Pattani," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman web Pulo.

Kasturi, bagaimanapun, berkata mereka berharap lawatan Najib ke wilayah itu tidak akan memberi kelebihan dan semata-mata memihak kepada kerajaan Thai hingga ke tahap tidak mengendahkan nasib penduduk setempat di sana.

Lebih 3,600 orang terbunuh dalam keganasan harian sejak puak pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka pada Januari, 2004 bagi mendapatkan kemerdekaan Pattani, Narathiwat dan Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Bangkok, yang menugaskan lebih 60,000 anggota tentera ke kawasan itu, berkata jumlah keganasan telah berkurangan berbanding tahun sebelumnya namun pengeboman dan tembakmenembak masih terus berlaku. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain