suria

Ada Pihak Mahu Jatuhkan Saya: Susilo

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sekali lagi menyatakan secara terbuka kemungkinan sebuah pergerakan politik mahu menjatuhkan beliau dengan berselindung di sebalik perhimpunan menentang rasuah berkaitan skandal Bank Century.

"Setiap malam, saya memanjatkan doa bersama isteri dan keluarga saya," katanya semalam semasa berucap pada sidang kemuncak Parti Demokratik pimpinan beliau yang disiarkan melalui televisyen.

"Apa sebenarnya tujuan semua pembohongan dan perbuatan memburukburukkan peribadi saya ini? Logik saya mengatakan pergerakan politik ini mahu memburukkan nama saya, menggoncang kedudukan dan menjatuhkan saya dalam tempoh terdekat," katanya yang dipetik akhbar harian berbahasa Ingeris popular The Jakarta Post, hari ini.

Susilo merujuk kepada tuduhan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya Barisan Demokrasi Rakyat (Bendera), kononnya beberapa orang yang rapat dengan beliau termasuk anak lelakinya Edhie 'Ibas' Baskoro, telah memperoleh wang daripada urusan menyelamatkan Bank Century.

Usaha menyelamatkan bank itu melibatkan Rp 6.76 trilion (US$716 juta).

Susilo menggunakan ucapan itu untuk menafikan sekali lagi bahawa beliau dan sekutu rapatnya atau Parti Demokratik melakukan penyelewengan dalam urusan menyelamatkan bank itu. BERNAMA

Artikel Lain