suria

Musim Haji Tahun Ini Bebas Penyakit Berjangkit

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan bahawa musim haji tahun ini bebas daripada penyakit berjangkit, menurut Menteri Kesihatan Arab Saudi Abdullah AlRabeeah.

Beliau berkata pengisytiharan itu dibuat berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Kesihatan Haji.

Dalam laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Arab News, beliau berkata hanya 73 kes influenza A (H1N1) dengan lima kematian dicatatkan pada sepanjang musim haji ini berbanding dengan jumlah hampir 2.5 juta jemaah haji yang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Pertahanan Awam Jen. Saad bin Abdullah AlTuwaijri berkata jumlah kemalangan berkurangan dengan mendadak pada musim haji ini berbanding pada tahun tahun sebelumnya.

"Penurunan mendadak itu kebanyakan disebabkan Jambatan Jamrah setinggi lima tingkat telah siap dan digunakan serta pembesaran kawasan Arafah lebih 30 peratus," kata beliau yang dilaporkan akhbar itu.

Beliau berkata projek ini mampu meningkatkan kemampuan Pertahanan Awam dan agensi kerajaan lain bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawabnya dengan cekapnya.

Ia juga membolehkan jemaah haji menunaikan ibadah haji dengan lebih selesa dan sempurna, tambah beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain