suria

Arab Saudi Pertingkat Kemudahan Kesihatan Bagi 3 juta Jemaah

MEKAH: Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama kes Influenza A (H1N1), berikutan ketibaan hampir tiga juta jemaah haji di sini dengan menubuhkan pusat bagi menerima mereka yang disyaki menghidap penyakit itu dan menambahbaik kemudahan sedia ada di semua hospital.

Akhbar berbahasa Inggeris Saudi Gazette hari ini melaporkan bahawa pihak Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan telah membuka 14 pusat perubatan dan lapan pusat bagi menangani kes H1N1 sepanjang musim haji kali ini.

Sejumlah 14 pusat perubatan dan klinik di tanah suci ini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan, manakala kakitangan perubatan ditempatkan di kawasan yang mudah dikunjungi para jemaah, kata Dr Sami Badawood, Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan Jeddah seperti yang dilapor akhbar itu.

"Kami telah membuka klinik pakar di lapan pusat penjagaan kesihatan utama di Jeddah, yang akan beroperasi sepanjang siang dan malam bagi menerima kes serangan kedua H1N1," katanya.

Badawood dilaporkan berkata Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan Jeddah juga telah mengenal pasti kira-kira 1,200 doktor dan kakitangan perubatan Arab Saudi serta juruteknik yang akan menangani kes kecemasan.

Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan di Mekah pula menyatakan Hospital Ajyad telah menambah jumlah katil kepada 52 buah dan menambah kemudahan lain termasuk menubuhkan Jabatan Penjagaan Rapi serta Unit Rawatan Jantung dan Paruparu.

Hospital itu juga menambah jumlah makmal, mewujudkan bahagian radiologi digital dan ultrasound, sebuah farmasi, jabatan rekod perubatan dan pusat penerangan yang dihubungkan dengan bahagian Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan.

Akhbar itu juga memetik pengarah wilayah Pengurusan Hal Ehwal Kesihatan Mekah Khaled Dhafar sebagai berkata penambahbaikan juga dibuat terhadap kemudahan perubatan lain.

"Satu bahagian baru yang mempunyai 20 katil bagi tujuan pembedahan harian telah dibuka di Hospital Raja Abdul Aziz di Mekah, di samping dua bilik bedah, enam bilik bagi rawatan pasca pemulihan anesthesia, sebuah bilik prapembedahan dan bahagian derma darah, tisu dan tibi," kata Dhafar.

Beliau dilaporkan berkata unit penjagaan rapi hospital itu juga dilengkapkan dengan kemudahan baru dan ditambah 20 katil lagi, manakala Hospital Ibn Sina pula telah menambah jumlah katilnya kepada 100 buah dan dua pusat kesihatan baru di kawasan Masjidil Haram, kini sudah beroperasi.

Kata Dhafar pusat penjagaan kesihatan di Mina juga telah ditambah dengan pelbagai kemudahan dan sebanyak 20 pusat kesihatan kini dibuka di kawasan Jambatan Jamarah. BERNAMA

Artikel Lain