suria

FTA Malaysia-AS Masih Belum Pasti

SINGAPURA: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Amerika Syarikat kini tergantung setelah AS berkata ia kini memberi keutamaan kepada perkumpulan ekonomi serantau.

Pentadbiran AS kini melihat kepada Perkongsian Ekonomi Strategik TransPasifik (TPP), yang dahulunya dikenali sebagai P4, pakatan yang pada mulanya melibatkan Brunei, Singapura, Chile dan New Zealand, dan kini nampaknya menarik minat negara lain juga seperti Australia, Peru dan Vietnam.

Amerika Syarikat dijadual mengadakan pusingan pertama rundingan mengenai TPP pada Mac lepas tetapi ditangguhkan bagi memberikan masa kepada pentadbiran AS untuk mengadakan semakan umum mengenai dasar perdagangan negara itu.

"Nampaknya AS tidak mengutamakan kerjasama dua hala," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed kepada media Malaysia pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata pendirian baru AS mengenai isu itu disampaikan kepadanya semasa beliau bertemu Wakil Perdagangan AS Ron Kirk di luar acara mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang berakhir semalam setelah berlangsung dua hari.

Menteri itu berkata beliau menemui Kirk bagi mendapatkan penjelasan mengenai pendirian AS mengenai perjanjian perdagangan bebas serantau terutama TPP, yang mendapat perhatian serius AS.

Bagaimanapun, Mustapa berkata Malaysia tidak akan menarik diri daripada rundingan dan masih berminat untuk menjalin pakatan dengan AS.

Sambil menyatakan berita berkenaan bukan suatu yang mengejutkan kepada beliau, menteri itu berkata Malaysia telah mengadakan lapan pusingan rudingan dengan AS berhubung FTA itu sejak yang pertama berlangsung pada 2006.

Beliau berkata negara akan meneliti semula FTA dan juga mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perubahan pendirian pentadbiran AS sekarang memandangkan Presiden AS Barack Obama juga akan berada di sini untuk mesyuarat Apec. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain