suria

Tiada kes influenza A (H1N1) di kalangan jemaah Malaysia

MEKAH: Tiada kes jangkitan Influenza A (H1N1) yang dikesan di kalangan jemaah haji Malaysia di tanah suci, kata Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Ahmad Faudzi Yusoff hari ini.

Beliau berkata sehingga kini kira-kira 70 peratus daripada 26,000 jemaah haji Malaysia telah berada di tanah suci dan secara keseluruhannya mereka dalam keadaan sihat.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris Arab News hari ini mengenai dua kes jangkitan Influenza A (H1N1) yang dikesan di kalangan jemaah haji yang tiba di terminal Haji Lapangan Terbang Antarbangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah semalam.

Akhbar itu yang memetik jurucakap kementerian kesihatan Dr Khaled AlMirghalani sebagai berkata pegawai-pegawai kesihatan mengenalpasti sembilan jemaah yang mempunyai suhu badan yang tinggi semasa imbasan di Terminal Haji.

Al-Mirghalani bagaimanapun tidak mendedahkan kerakyatan jemaah terbabit.

Sehingga kini kira-kira 600,000 jemaah tiba melalui Terminal Haji.

"Mereka dibawa ke Hospital King Saud yang terletak di kawasan lapangan terbang. Hasil ujian klinikal, hanya dua daripada mereka didapati positif H1N1 dan yang lain dibenar menyertai kumpulan haji masing-masing," katanya.

Beliau berkata jemaah terbabit akan dibenar meneruskan ibadat haji mereka sebaik sembuh daripada jangkitan virus itu dan menjelaskan bahawa Hospital King Saud ditugaskan untuk merawat jemaah yang dijangkiti Influenza A (H1N1). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain